Pengangguran Terengganu semakin menurun

- Advertisement -

SEJAK 2012, kadar pengangguran di Terengganu menunjukkan trend peningkatan iaitu daripada 2.9 peratus kepada 3.4 peratus (2013), 4.1 peratus (2014), 4.0 peratus (2015), 4.2 peratus (2016), 4.5 peratus (2017) dan 4.8 peratus (2018).

Jumlah penganggur bertambah dengan ketara daripada 14,400 kepada 22,500 dalam tempoh 6 tahun tersebut.

- Advertisement -

Kadar ini juga melepasi kadar nasional yang berada dalam julat antara 2.9 hingga 3.4 peratus sahaja bagi tempoh yang sama.

Melihat kepada trend yang membimbangkan inilah, menjelang PRU14 lalu PAS Terengganu mengemukakan tawaran untuk menyediakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh sepenggal pentadbiran.

Isu pengangguran adalah isu besar yang melibatkan banyak faktor. Ia memerlukan usaha dan fokus.

Kerajaan melihat bidang sumber manusia ini memerlukan satu agensi khusus bagi menangani permasalahan pengangguran dan pencarian kerja kepada rakyat.

Jika sebelum ini isu pengangguran dan pencarian kerja tiada data khusus yang boleh digunapakai oleh pihak kerajaan negeri sendiri. Di sinilah terwujudnya THRDC (Terengganu Human Resource Development Centre).

Antara perkara pertama yang dilakukan oleh THRDC adalah membentuk kolaborasi erat antara agensi dan jabatan kerajaan serta industri.

Alhamdulillah, setelah lebih 18 bulan mengambil alih kerajaan, dengan wujudnya THRDC dan dengan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, kadar pengangguran berjaya diturunkan kepada 3.5 peratus pada 2019 iaitu menghampiri kadar nasional 3.3 peratus.

Dalam masa yang sama, THRDC telah mengadakan kerjasama erat dengan agensi Kerajaan Persekutuan seperti PERKESO dan Jabatan Perangkaan Negara bagi berkongsi data-data yang lebih bermaklumat untuk kegunaan negeri.

Melalui pelaporan yang lebih terperinci dan bersasar itu kerajaan dapat meneliti fenomena pengangguran mengikut daerah-daerah dan bidang-bidang yang diperlukan dalam pasaran kerja.

Kerajaan juga dapat memahami kedudukan permintaan dan tawaran tenaga kerja (Demand and Supply of Labour) dalam Negeri Terengganu, seterusnya memahami jurang (gap) yang wujud.

Daripada kefahaman itu, kerajaan negeri menggariskan beberapa strategi jangka pendek dan panjang untuk menangani masalah pengangguran ini.

Walaupun pasaran buruh merosot teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, kadar pengangguran di negeri ini masih terkawal pada kadar 4.1 peratus pada 2020 dan antara 3.7 peratus hingga 4.4 peratus pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021.

Kadar ini adalah lebih baik daripada yang direkodkan di peringkat nasional iaitu 4.6 peratus pada 2020 dan antara 4.7 peratus hingga 4.8 peratus pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021.

Statistik kehilangan pekerjaan di negeri ini bagi tempoh Mac 2020 hingga September 2021 juga berada di kedudukan keempat terendah iaitu seramai 1,547 orang daripada keseluruhan 136,374 orang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Data-data ini saya kongsikan dahulu untuk memberikan gambaran umum mengenai tahap ‘kesihatan’ pasaran buruh di negeri kita ini sejak beberapa tahun lalu sehingga sekarang.

Insya-Allah, dalam hantaran berikutnya nanti, saya akan menjawab pula sama ada janji untuk menyediakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan itu sudah ditunaikan atau sebaliknya.

YB MOHD NURKHUZAINI AB RAHMAN
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu – HARAKAHDAILY 5/1/2022

Sumber Asal: https://www.trdi.my/kadar-pengangguran-di-terengganu-turun

- Advertisement -