OKU terlantar terkilan anak pergi tanpa khabar berita

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Seorang warga emas yang juga golongan kurang upaya (OKU) kini hanya mengharap pengorbanan anak angkat selepas dua anaknya sendiri kini tidak lagi mempedulikannya.

Badaruddin Ghazali, 61, yang mengidap gout kronik sejak setahun lalu masih bernasib baik apabila mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau yang lebih mesra dipanggil Abang Din sekarang terlantar di atas katil di ruangan tamu rumahnya.

- Advertisement -

Segala keperluan hariannya termasuk makan, minum, mandi, mencuci air kecil dan air besar hanya bergantung harap kepada Mohamad Sami Muzakir 11.

“Saya tidak boleh berjalan sejak setahun lalu. Isteri meninggal dunia kerana kencing manis. Saya ada dua anak tetapi mereka sudah membawa diri tanpa sebarang berita.

“Mereka tidak lagi bertanya khabar, kecil hati saya dan tiada lagi harapan kepada mereka sekarang. Hanya Mohamad Sami yang membantu keperluan harian saya.

“Sami tidak seperti kanak-kanak lain, mainan pun dia tidak main. Baru-baru ini beli handphone untuk dia,” katanya ketika ditemui ketika kunjungan Adun Salor, Saiful Adli Abu Bakar semalam.

Pada kunjungan itu Saiful Adli menyampaikan sumbangan kepada penduduk terbabit.

Program itu sempena aktiviti ziarah di Mukim Mulong yang membabitkan lima rumah penduduk termasuk mereka yang ditimpa musibah seperti kemalangan, penyakit kronik dan OKU.

Abang Din juga meluahkan rasa risau memandangkan sesi persekolahan bakal dibuka tidak lama lagi. Mohamad Sami akan belajar di Sekolah Rendah Agama Ittihadiah Tanjung Pagar Kerereh.

“Tidak tahu macam mana apabila sekolah dibuka nanti. Baru-baru ini ada orang datang tanya masalah saya.

“Inilah masalah yang saya terpaksa hadapi tetapi pendidikan Mohamad Sami tidak boleh diabaikan. Dia anak yang baik dan sentiasa membantu saya siang dan malam, sakit pun dia tolong,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/1/2022

- Advertisement -