Oleh SYAHIRAH SALLEH dan EVA NATASHA SADALI
PUTRAJAYA: Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung skandal pembelian saham yang dikaitkan dengannya.
Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, setelah perbincangan bersama Ahli LPPR, mereka berpendapat Azam tiada sebarang kepentingan pecuniary (kewangan) atau benefisial ke atas saham berkenaan.
“Tan Sri Azam telah menjelaskan kedudukan sebenar kepada saya dan ahli LPPR lain bahawa akaun saham beliau ketika itu digunakan adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham berkaitan pada 2015.
“Beliau menjelaskan, beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan pecuniary ataupun benefisial bagi pembelian atau pemilikan saham berkenaan.
“Pembelian saham tersebut dibuat di pasaran terbuka dan tiada sebarang percanggahan kepentingan bagi pebelian saham berkenaan pada 2015, dan semua saham tersebut telah dipindahkan semula kepada Nasir Baki,” katanya dalam satu Sidang Media Khas SPRM, di sini, hari ini.
Melalui penjelasan yang dibuat melalui mesyuarat khas pada 24 Disember itu, kata Abu Zahar, LPPR berpuas hati dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah dan conflict of interest dalam isu itu.
Di samping itu katanya, LPPR bercadang untuk menghebahkan perkara itu kepada masyarakat dalam masa tertentu.
Namun kata beliau, malangnya isu berkenaan telah dibangkitkan terlebih dahulu oleh bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegarah Rasuah SPRM, Dr Edmund Terence Gomez dan perkara itu amat mengejutkannya.
LPPR adalah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM.
Mengenai diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan kes salah laku itu, Abu Zaharmenjelaskan ia akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, pihaknya mampu untuk menguruskannya tanpa melibatkan sebarang pihak ketiga.
Bagaimanapun katanya, perkara itu tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri.
“Buat masa ini tidak perlu RCI, tetapi apa-apa keputusan tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri kelak,” katanya.
Berhubung dakwaan kononnya Edmund menghantar surat kepadanya mengenai isu saham Azam, Abu Zahar berkata, beliau langsung tidak menerima apa-apa surat sehingga hari ini.
“Saya bersikap terbuka untuk berbincang dengan Edmund dalam hal ini, kerana saya tidak akan berkompromi dan melindungi sesiapa sekiranya wujud salah laku membabitkan pegawai SPRM tanpa mengira kedudukan atau jawatan,” katanya.
Sebelum ini, Edmund dilaporkan meletak jawatan sebagai ahli panel PPPR kerana mendakwa jawatankuasa itu gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi SPRM. – HARAKAHDAILY 5/1/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!