Hong Kong buru kontak rapat pesakit varian Omicron

Kapal persiaran yang dinaiki kontak rapat pesakit varian Omicron
- Advertisement -

HONG KONG: Pihak berkuasa kesihatan melancarkan gerakan mencari kontak rapat kepada seorang pesakit Covid-19 di wilayah pentadbiran khas di sini, selain mengarahkan sebuah kapal persiaran kembali semula ke pelabuhan.

Hab kewangan dunia ini melaksanakan strategi sifar Covid-19 dengan mengasingkan wilayah ini daripada dunia luar dan menguatkuasakan kuarantin ketat.

- Advertisement -

Pada 31 Disember lalu, tempoh tiga bulan tanpa kes komuniti berakhir dengan pengesahan jangkitan tempatan pertama varian baharu Omicron.

Sejak itu, pihak berkuasa bertungkus lumus menjejaki dan melakukan ujian terhadap ratusan individu yang mempunyai kontak dengan pesakit Omicron terbabit.

“Pendekatan anti epidemik ketat dilaksanakan untuk mencegah virus yang bermutasi ini merebak di kalangan masyarakat,” kata kerajaan dalam kenyataan media hari ini.

Usaha mencari kontak rapat terbabit dilaksanakan selepas seorang yang positif Omicron, menari bersama kira-kira 20 rakannya di sebuah taman awam menjelang tahun baharu. Hasil ujian awal terhadap seorang rakannya yang bekerja sebagai pembantu rumah didapati positif.

Majikan pembantu rumah dan lapan kontak lain kemudian menaiki kapal persiaran pada 2 Januari lalu dan pulang pada 6 Januari.

Bagi menangani penularan Covid-19, Hong Kong mengehadkan kapal persiaran hanya membuat perlayaran singkat di perairan berdekatan, dengan kapasiti kapal dikurangkan dan hanya membenarkan penumpang yang menerima vaksin lengkap dan negatif dalam ujian.

Kapal persiaran “Spectrum of the Seas” membawa 2,500 penumpang dan 1,200 kakitangan. Sembilan penumpang yang menjadi kontak pesakit diasingkan daripada penumpang lain dan ujian yang dijalankan juga mendapati mereka negatif.

Syarikat Royal Caribbean yang memiliki kapal memberitahu, pengurusan kapal berkenaan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan.

Berikutan kehadiran kontak berkenaan, kapal berkenaan yang sepatut pulang esok, diarahkan pulang hari ini. Sembilan kontak rapat berkenaan dihantar ke pusat kuarantin, manakala penumpang dan kakitangan kapal lain akan menjalani beberapa ujian dalam beberapa hari ini.

Selain itu, orang ramai yang pergi ke 47 tempat seluruh Hong Kong pada masa sama kontak rapat terbabit berada di situ, akan diberikan notis untuk menjalani ujian.

Antara lokasi berkenaan ialah Victoria Park, muzium seni moden yang baru dibuka, M+, terminal feri, restoran, kedai dan klinik. – REUTERS

- Advertisement -