Hawaii: Gempa bumi selepas lelaki jatuh dalam gunung berapi

Gempa bumi berpusat di gunung berapi Kilauea direkodkan beberapa jam selepas seorang warga emas maut akibat terjatuh ke dalam kawah gunung berapi tersebut pada 3 Jan 2022. (FOTO Getty Images)
- Advertisement -

HONOLULU: Gempa bumi kecil menggegarkan Hawaii susulan seorang warga emas ditemui maut selepas terjatuh 100 kaki dari platform yang dibina khusus untuk pelancong melihat kawah gunung berapi Kilauea.

Pihak berkuasa tempatan berkata, gempa bumi berpusat di gunung berapi paling aktif di Hawaii itu dikesan beberapa jam selepas lelaki berusia 75 tahun berkenaan terjatuh ke dalam kawah gunung berapi yang mulai kembali aktif sejak September tahun lalu.

- Advertisement -

Warga emas dari Hilo dekat sini itu, dilaporkan hilang di Taman Negara Gunung Berapi Hawaii (HVNP) kira-kira jam 8 pagi Isnin (3 Jan), waktu tempatan.

Renjer Perkhidmatan Taman Negara dan bomba Hawaii County yang membuat tinjauan dengan helikopter kemudiannya menemui mayat lelaki itu di tebing kawah gunung berapi Kilauea, berhampiran kawasan platform Uekahuna.

Mayat lelaki yang terjatuh ke dalam kawah gunung berapi Kilauea diangkat dengan helikopter dari tebing gunung berapi tersebut. (FOTO Getty Images)

Jurucakap HVNP berkata bahawa lelaki itu telah terjatuh dari ‘kawasan tertutup’ di lokasi tersebut dan siasatan terhadap kejadian itu sedang dijalankan. 

Nama mangsa masih belum didedahkan kerana menunggu maklumat lanjut daripada pihak keluarga mangsa.

Secara kebetulan, gempa bumi yang ketara telah direkodkan berhampiran Kilauea pada hari yang sama, beberapa jam selepas mayat lelaki itu ditemui. – Independent.co.uk

- Advertisement -