GM Duyong Marina tidak mengekalkan budaya lama

- Advertisement -

AGAK sukar bagi saya menulis cerita-cerita sebegini, apa lagi jika terkena kepada orang-orang yang saya kenali semenjak lama dahulu. Tetapi ia memang sudah jauh menyimpang dan tidak menepati budaya lama. Inilah yang saya terima, cerita dalaman berkenaan General Manager (GM) Duyong Marina Resort (DMR) yang jelas telah mengenepikan dua budaya yang berzaman di DMR.

Agak banyak kritikan-kritikan yang ditujukan kepada DMR beberapa bulan lalu berkaitan dengan servis dan apa yang dianggap sebagai perkara yang tidak sepatutnya berlaku di sebuah resort yang dianggap ‘ada kelas’ itu. Harapan tetamu tentulah tinggi. Namun dakwa mereka, ia tidaklah setimpal dengan apa yang telah mereka belanjakan. Maka bagi pelanggan zaman sekarang, tular adalah ubatnya.

- Advertisement -

Saya sebenarnya telah lama mendapat maklumat mengenai apa yang berlaku di dalam DMR, 4-5 tahun lalu, sebelum PAS menang PRU lagi. Mungkin kerana saya selalu mencari isu, maka ada beberapa orang yang tahu dan mahukan saya ketengahkan isu-isu ini waktu itu. Jadi mungkin lebih baik saya kongsikan dahulu beberapa cerita lama DMR yang saya perolehi, sebelum kita bincang mengenai isu perangai GMnya ini.

DMR dahulunya dikenali sebagai Kelab Warisan sebelum diserahkan kepada Riyaz Heritage and Marina Resort. Dan ia adalah salah satu projek yang dirancang bagi perlumbaan kapal layar, Monsun Cup. Banyak lagi projek-projek lain di muara Sungai Terengganu ketika itu yang didakwa dikuasai oleh seorang individu yang dikenali sebagai Patrick Badawi. Kira-kira RM1 bilion telah ditenggelamkan di dasar muara Sungai Terengganu untuk itu.

Semenjak belasan tahun, ia tidak pernah mendapat keuntungan. Selain daripada foto ikonik Pak Lah yang menjadi Perdana Menteri ketika itu memegang bahu Michelle Yeoh dalam satu majlis makan malam yang menjadi isu kepada imej bersihnya, resort ini tidak memberikan impak besar kepada industri pelancongan Terengganu. Malah janji manis untuk konon menaikkan kembali imej Duyong sebagai pusat industri pembuatan perkapalan, tinggal angan-angan.

Masa berlalu, pengurusan Riyaz ditukar kepada Duyong Marina Resort setelah terus kerugian dan diletakkan di bawah Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT). Ia semakin sepi, apabila Monsun Cup dibawa pergi keluar dari Terengganu. Dengan imej korporat, DMR tidak menjadi tumpuan kepada pelancong kerana dianggap mahal. Sifir ringkasnya, setelah tiada atau kurang pelanggan, ia akan rugi. Apabila rugi, ia akan menghadapi masalah dengan banyak menanggung kos. Kos operasi, kos penyelenggaraan, mana mahu diambil wang? Ya LTAWNTlah yang sentiasa mengeluarkan wang.

Isu bilik yang terjadi baru-baru ini, ia sebenarnya telah lama diketahui pengurusan yang lama. Dahulu, ada niat untuk DMR ini dijual sahaja kepada pihak yang berminat oleh pengurusan lama. Beberapa pihak datang meninjau keadaan. Dan mereka semua pulang kembali tanpa menawarkan apa-apa setelah melihat keadaan bilik-bilik yang teruk itu yang memerlukan jutaan ringgit untuk dibaik pulih. Maka terpaksalah kerajaan menanggung lagi DMR yang menjadi biawak hidup.

Saya tidak mahu menyentuh isu berkenaan dakwaan dahulu, sebelum 2018, ada bilik dijadikan rumah kepada orang tertentu, walaupun sudah tidak berkhidmat di situ. Juga bayaran-bayaran yang tidak dibuat setelah menggunakan DMR bagi banyak program. Biarlah ia. Semoga pihak yang berhutang dahulu, tahu tanggungjawabnya untuk membayarnya. Tetapi semua amalan ini menjadikan kedudukan DMR semakin parah.

Budaya pertama yang diubah oleh GM DMR yang baru, Ustaz Wan Faizul Abas ialah dalam DMR ialah industri perhotelan mempunyai sistem kasta iaitu orang-orang besar tidak akan bergaul mesra dengan pekerja am. Ia ibarat ada sekatan yang dibuat khusus. Budaya ini mengikut budaya orang putih, kekal sehingga sekarang. Tetapi Ustaz Wan Faizul mengubahnya dengan meruntuhkan kasta itu. Dia bergaul dengan semua kakitangan. Malah beliau juga turun bersama kakitangan, membuat jualan ketika pandemik dahulu.

Budaya kedua yang beliau langgar ialah budaya mencatat kerugian. Budaya DMR ialah sentiasa rugi. Alhamdulillah tahun 2019, 2020 dan 2021, DMR mencatatkan keuntungan. Tahun lalu jualan DMR lebih RM9 juta dan keuntungan lebih kurang RM1 juta menurut laporan ‘profit and loss’. Jadi dengan rekod keuntungan pertama kali melepasi RM1 juta, DMR insya-Allah tidak lagi akan mengekalkan budaya rugi ini lagi, setelah pengurusan baharu yang dahulunya diperli sebagai ‘ustaz’ sekolah pondok, berjaya menghapuskannya.

RM5 juta telah diluluskan oleh LTAWNT bagi baik pulih DMR, semenjak pertengahan tahun 2021, bukan setelah tular mengenai isu bilik tempoh hari. Ada netizen tanpa segan mendakwa, kerana tularlah, maka RM5 juta diluluskan segera. Maaflah, naif sangat dakwaan itu sebab jumlah RM5 juta itu sangat besar, bukan macam ‘petty cash’, minta pagi, tengahari lulus. Ia perlukan perincian bagi kelulusan dalam mesyuarat. Namun kerja baik pulih yang dijadualkan bermula September 2021 sehingga Jun 2022 itu, tidak dapat dijalankan kerana masalah teknikal yang dihadapi LTAWNT, sebagai pihak yang mengurus.

Saya gembira dengan pencapaian semua kawan-kawan saya dan saya hormati usaha gigih mereka, apa lagi bagi melaksanakan amanah jemaah dan rakyat. Saya percaya, Ustaz Wan Faizul boleh berhadapan dengan serangan musuh, tetapi akan menjadi tersakiti yang amat sangat apabila ada rakan sendiri dalam jemaah yang menghina dirinya dengan tuduhan seperti tidak tahu mengurus, suruh letak jawatan, diungkit berkenaan duit gaji yang beliau perolehi, seolah-olah beliau sedang memakan wang haram, beri makan kepada keluarga. Sedangkan kisah sebenar, sejarah hitam DMR, tiada mereka ketahui. Hanya sedap menuduh.

Ustaz Wan Faizul, ustaz pondok cabuk, yang tidak pandai mengurus hotel ini, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari UIA, pernah berkhidmat sebagai ADO Kemaman dan Besut, berjaya mengembalikan wang rakyat Terengganu yang selama ini tidak diuruskan dengan betul. Ketika beliau aktif bersama NGO seperti GANTI, RABITAH dan PAKAT iaitu NGO yang menjaga kebajikan asatizah atau ulamak Terengganu, pengurusan DMR berjalan baik. Semoga ada pahala atas usaha ustaz. Saya hanya ingin menumpang secebis pahala atas amanah ustaz ini dengan tulisan saya, jika ada.

MOHD NASIR ABDULLAH
5 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 5/1/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -