Covid-19: AS catat rekod 1 juta kes sehari

Seorang jururawat yang memakai peralatan perlindungan diri di luar Hospital Elmhurst, di daerah Queens, New York, pada 20 April 2020. (FOTO Reuters).
- Advertisement -

WASHINGTON: Amerika Syarikat mencatatkan rekod global hampir 1 juta kes jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam pada Isnin (4 Jan) waktu tempatan, susulan varian Omicron kini menular di negara tersebut.

Sejumlah 978,856 kes jangkitan baharu dilaporkan pada Isnin, namun angka tersebut kemungkinan lebih tinggi berikutan beberapa negeri di AS tidak memberikan laporan. 

- Advertisement -

Sementara,bilangan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital juga telah meningkat hampir 50 peratus pada minggu lalu dan kini melebihi 100,000 orang menunjukkan kali pertama angka tersebut kembali dicapai sejak lonjakan pada musim sejuk setahun yang lalu.

Secara keseluruhan, AS telah menyaksikan purata kes harian Covid-19  sebanyak 486,000 kes sepanjang minggu lalu, kadar yang meningkat dua kali ganda dalam tujuh hari dan jauh mengatasi mana-mana negara lain di seluruh dunia.

Dalam pada itu, purata jumlah kematian harian akibat Covid-19 di AS kekal stabil sepanjang Disember 2021 hingga awal Januari 2022 iaitu pada kira-kira 1,300.

Menurut kenyataan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS pada Selasa (5 Jan), dianggarkan varian Omicron telah menyumbang 95.4 peratus daripada kes Covid-19 yang dikenal pasti di AS setakat 1 Jan 2022.

Sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO) pula berkata, bukti setakat ini menunjukkan Omicron memberi impak yang kurang teruk. 

Namun begitu, pegawai kesihatan awam WHO telah memberi amaran bahawa jumlah kes Omicron yang banyak boleh mengancam keupayaan pihak hospital untuk mengendalikannya, terutama dalam  menangani gelombang pesakit Covid-19 yang tidak divaksinasi.

Gabenor Maryland, Larry Hogan dalam pada itu mengisytiharkan keadaan darurat selama 30 hari pada Selasa dan menggerakkan 1,000 anggota Pengawal Kebangsaan untuk operasi tindak balas wabak, susulan bilangan kemasukan harian e hospital akibat Covid-19 di negeri itu mencecah rekod tertinggi melebihi 3,000. 

“Ia adalah peningkatan lebih daripada 500 peratus dalam tempoh tujuh minggu lepas. Empat hingga enam minggu akan datang akan menjadi tempoh yang paling mencabar bagi menanangi wabak ini,” ujar Hogan.

Menurut beliau lagi, unjuran terbaharu setakat hari ini menunjukkan bahawa kemasukan ke hospital bagi kes Covid-19 boleh mencecah lebih daripada 5,000 orang, yang akan menjadikan lebih daripada 250 peratus lebih tinggi daripada jumlah puncak di Maryland sebelum ini iaitu 1,952 pada tahun lepas.

Delaware, Illinois, Ohio dan Washington juga telah melaporkan jumlah pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dalam angka yang tinggi dalam beberapa hari kebelakangan ini. – Reuters

- Advertisement -