Antara toleransi dan sempadan dalam agama

Agama
- Advertisement -

ISLAM agama yang bertoleransi dan Islam tidak menghalang Muslim untuk berbuat kebaikan kepada belum-Muslim.

Namun Islam juga agama yang praktikal, logikal dan ada prinsip-prinsip untuk berhadapan dengan dunia yang dinamik. Jelas dalam firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat)…” 

(al-Maidah: 2)

Bantu membantu amalan mulia tetapi kita tidak dapat membayangkan kita membantu perompak untuk merompak ataupun menjadi pemudahcara penjenayah untuk melakukan jenayah!

Agama lain ada prinsip mereka begitu juga Islam. Kita tidak akan menjemput sahabat kita yang beragama Hindu untuk membantu memotong daging lembu atau mengedarkan daging korban kerana kita hormat prinsip agama mereka.

Kami di MRM terlibat dalam misi bantuan dan pembersihan pasca banjir. Kami juga membantu belum-Muslimmembersihkan rumah dan kedai mereka tetapi sesekali kami tidak akan terlibat membersihkan rumah ibadat agama lain. 

Kami tidak dapat membayangkan menjadi pemudahcara untuk mereka mensyirikkan Allah yang merupakan dosa yang paling besar di sisi Islam. 

Kita mungkin beralasan kenapa kita ada masalah membersihkan rumah ibadat mereka sedangkan mereka tiada masalah bersihkan surau dan masjid?

Jawapan kami mudah, itu prinsip agama mereka bukannya prinsip agama Islam. Mereka ada prinsip mereka kita ada prinsip kita. Jikalau ingin menggunakan logik bahawa mereka boleh kenapa kita tak boleh, maka kenapa kita tak jemput sahabat kita yang vegetarian atau Hindu memotong daging lembu bersama?

Itu pendirian kami di MRM dan kami percaya ada pelbagai cara lagi untuk menunjukkan toleransi dan kecantikan Islam tetapi bukan dengan cara membersihkan rumah ibadat agama lain.

Yang belum-Muslim yang terasa ingin menghentam penulisan saya ini, saya ingin galakkan anda agar berfikir sedalam dalamnya sebelum menghentam dengan logik anda yang mudah dipatahkan. Bagimu agamamu dan bagiku agamaku. 

Saya menulis sebagai nasihat untuk saudara seagama saya dan saya tidak mencampuri urusan agama anda. Tidak perlu menangguk di air yang keruh. Saya kongsikan surah Al Kafirun untuk kita hayati bersama;

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.”

(al-Kafirun: 1-6)

FIRDAUS WONG WAI HUNG
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 5/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044182431632/posts/480817056734371/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -