10 tahun usaha KIAS dapat taraf kolej universiti

- Advertisement -

KOLEJ Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) satu-satunya institusi pengajian tinggi milik kerajaan Kelantan. Matlamat penubuhannya bagi menggantikan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri yang ditubuhkan pada 1965. Namun pada 1 April 1981, YPTIK diserapkan di bawah Akademi Islam Universiti Malaya. Selepas itu kegemilangan YPTIK terus hilang. Dan setelah PAS sekali lagi menguasai Kelantan pada 1990, usaha menghidupkan YPTIK digerakkan semula. Ia bermula dengan Mahaad ad Dakwah Wal Imamah pada 1994. Penubuhannya hasil cetusan idea Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kemudian Maahad ad Dakwah dinaik taraf kepada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra pada 24 Ogos 1999. Dan sekarang sekali lagi dinaik taraf Kolej Universiti. Perjuangan selama 28 tahun untuk melihat KIAS benar-benar mampu menggantikan YPTIK, yang pernah terkenal di seluruh nusantara ketika itu. Oleh itu bagi mendapat gambaran lebih jelas mengenai perkembangan KIAS ikuti temubual wartawan HARAKAHDAILY, LANJUSOH dan ARIF ISMAIL bersama Pendaftar KIAS Ahmad Nazir Abdullah ketika ditemui baru-baru ini.

- Advertisement -

Harakahdaily: Sejauh mana perkembangan KIAS sekarang?

Ahmad Nazir: Kita baru mengadakan sambutan dua dekad maksudnya sudah 20 tahun lebih usia KIAS sekarang. Sambutan kemuncaknya dijangka pada 23 Januari ini dengan perasmian Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra. Biarpun sudah mendapat status kolej universiti, namun kita kekalkan singkatannya sebagai KIAS. Kita kekalkan nama KIAS. Dan pada hari sama kita jangka akan diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). MoU ini antara KIAS dan MAIK. Setelah kita naik taraf sebagai kolej universiti, MAIK setuju untuk membiayai pelajar. Ia sebagai biasiswa kepada pelajar pengajian program diploma dan ijazah. Biasiswa tersebut merangkumi yuran pengajian dan duit poket yang melibatkan pelajar daripada golongan asnaf, anak Orang Asli, mualaf dan golongan B40. Pelajar terbabit perlu membuat permohonan dengan MAIK. Kemungkinan MAIK juga akan meninjau dari dekat kelurga pelajar terbabit, benar-benar golongan asnaf.

Ahmad Nazir Abdullah

Maknanya MAIK setuju untuk membantu pelajar golongan asnaf?

Sekarang peringkat menyiapkan draf MoU. Dijangka Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Muhamad Rizam Tengku Abdul Aziz akan datang pada program berkenaan. Acara kemuncaknya pelancaran Kolej Universiti dan perasmian asrama lima tingkat yang boleh menampung seramai 1,500 siswi. Pembinaan asrama itu yang dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri dengan kos hampir RM21 juta. Selepas KIAS dinaik taraf, MAIK berbesar hati membantu dengan memberi biasiswa dan derma siswa.

Bangunan baru asrama sekarang memperlihatkan perubahan ketara pembangunan KIAS?

Ia sebahagian daripada perancangan pembangunan KIAS. Selepas ini kita akan asingkan pelajar perempuan dan lelaki. Siswi akan menginap di asrama baru. Manakala di blok bangunan pendaftaran dan pentadbiran ditempatkan untuk asrama siswa.

Keseluruhan asrama yang ada sekarang boleh menampung berapa bilangan pelajar?

Asrama baru boleh memuatkan sehingga 1,500 pelajar. Asrama bekas pelajar Akademi Islam Universiti Malaya pula boleh manempung 800 pelajar. Ini bermakna sekarang KIAS boleh menampung sehingga 2,300 pelajar dalam satu-satu masa. Dan dalam perancangan kita untuk mengubahsuai sebuah lagi asrama iaitu Asrama Abu Bakar yang boleh menampung 500 pelajar. Jadi kapasiti keseluruhannya boleh menampung 2,800 pelajar.

Kampus KIAS sekarang nampak agak sendat, mungkin KIAS ada perancangan lain?

Sebenarnya kalau ikut perancangan kerajaan negeri akan mengambil balik kawasan baru seluas 100 ekar bersebelahan kampus sekarang. Perancangan itu sudah lulus di peringkat Lembaga KIAS. Cuma sekarang dalam proses di peringkat Jabatan Penilaian. Lokasi itu merupakan tanah sawah. Di situ akan dirancang dibina bangunan asrama baru.

Berdasar perancangan tersebut KIAS akan berkembang lebih pesat?

Perancangan kita dalam tiga hingga lima tahun akan datang KIAS akan dinaiktaraf sebagai universiti penuh. Sebab syarat universiti penuh tidak susah seperti kolej universiti. Kolej universiti payah sikit tetapi untuk jadi universiti penuh kita cuma perlu mempunyai 2,500 pelajar. Selain itu KIAS juga perlu mempunyai ramai pensyarah yang memiliki Phd. Turut diambil kira bilangan pensyarah yang ada taraf profesor dan profesor madya. Juga diambil kira kajian akademik dihasilkan pensyarah KIAS boleh mencapai taraf antarabangsa. Selepas itu boleh kita hantar permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapat taraf universiti penuh. 

Kerajaan negeri mengambil alih semula kampus yang pernah disewakan kepada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, bagaimana perkembagannya?

KIAS mengambil alih bangunan yang pernah digunakan Universiti Malaya pada Mac lepas. Tetapi notis yang dikeluarkan kerajaan negeri dua tahun lepas. Langkah itu mengambil kira usaha kerajaan negeri untuk menaik taraf kepada kolej universiti sejak tahun 2011 lagi. Kita telah kemukakan permohonan dengan KPT untuk mendapat status tersebut. Namun ketika lawatan pegawai kanan KPT pada 2011 masih terdapat bangunan kayu di kampus KIAS. Permohonan untuk naik taraf kepada kolej universiti beberapa kali dilakukan. Jadi tiada pilihan, kerajaan negeri perlu mengambil semula premis yang disewakan kepada Akademi Islam Universiti Malaya di Nilam Puri.

Sebenarnya bila permohonan untuk menaik taraf kepada kolej universiti?

Ia bermula sejak tahun 2011. Tiga empat kali permohonan diajukan. Hanya pada tahun 2021 diluluskan. Maknanya kita menunggu dalam tempoh 10 tahun. Akhirnya pada 21 Mac 2011 anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menerima sijil penubuhan KIAS sebagai kolej universiti di Kementerian Pengajian Tinggi. Selepas itu kita kena ada program sesuai dengan kolej universiti. Sebelum ini KIAS sudah ada program ijazah ketika masih sebagai kolej. Jadi apabila menjadi kolej universiti kena ada program sendiri. Paling lama dia akan ambil masa selama setahun untuk dapat kelulusan berkaitan. Lepas itu baru pendaftaran perakuan pendaftaran kolej universiti, sebagai lesen. Ini bermakna kita disahkan sebagai kolej universiti. Untuk intake sesi 2022/2023, kita akan umum pada pelancaran nanti memberi hadiah kepada 200 pelajar terawal mendaftar kursus diploma dan ijazah di KIAS. Kita akan beri komputer riba percuma sebagai hadiah daripada kerajaan negeri. Pendaftaran pelajar baharu tahun depan sekitar bulan Jun.

Mungkin ada perancangan lain KIAS?

Perancangan kita untuk menjadikan Kelantan sebagai satu-satunya hub untuk orang yang kelainan upaya yang meminati bidang pengajian al Quran. Sekarang bekas juara tilawah al Quran peringkat kebangsaan 2020 Muhammad Qayyim Nizar sedang belajar di KIAS. Beliau akan mengendalikan pengajaran al Quran braile kepada OKU yang berminat. Sekarang pun KIAS undang Ustaz Yahya Daud dari YIK mengajar al Quran. Selain itu Ustaz Abdullah Fahmi. Bekas hakim tilawah peringkat kebangsaan Nik Jaafar Nik Ismail juga pernah dilantik pensyarah ‘part time’ di sini.

Itu antara perangcangan jangka panjang untuk membolehkan OKU mengikuti kelas al Quran di peringkat diploma. Selain itu kita memberi tumpuan program peringkat master dan doktor falsalah.

KIAS juga menaik taraf lapan program peringkat ijazah. Malah program  asasi pun sudah mendapat kelulusan. Program itu iaitu Asasi Pengajian Islam dan Asasi Pengurusan Perniagaan. Sekarang setiap program baru yang kita tawarkan di peringkat ijazah kena ambik kira keperluan semasa. Kita juga dalam perancangan mengadakan program Sarjana Muda Tahfiz dengan Pengurusan. Program yang baru lulus ialah Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dengan Pengurusan, Syariah dengan Pengurusan.

KIAS juga akan tambah pula kursus Multimedia Kreatif mengikut keperluan semasa. Program Pengajian Islam kena kembar dengan Pengurusan sebab pengurusan diperlukan dalam semua bidang. Kita cuba nak ubah mentaliti orang kata ustaz tidak pandai mengurus dan hanya pandai mengajar sahaja. Kita mahu pecah tembok pemikiran tersebut. Hasrat KIAS mahu melahirkan produk (graduan) yang mahir al Quran, Hadis dan hebat dalam bidang pengurusan.

Pada sesi Jun 2022 lapan program ijazah akan ditawarkan termasuk asasi dan program sedia ada. – HARAKAHDAILY 5/1/2022

- Advertisement -