Penyatuan ummah satu keperluan semasa hadapi perpecahan

Ustaz Asrul Aimran.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Penyatuan ummah adalah satu keperluan masa kini memandangkan perpecahan yang berlaku adalah penyebab kepada kerosakan dan kemusnahan negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil berkata, menerusi penyatuan ini, negara mampu mengembalikan kegemilangan atas semangat kebersamaan parti-parti Melayu.

- Advertisement -

“Gagasan penyatuan ummah ini juga merupakan model politik yang telah dicorak oleh Nabi Muhammad SAW ketika menghadapi saat getir di kota Mekah sehingga membawa kepada peristiwa hijrah.

“Sehingga akhirnya terbentuk sebuah negara Islam pertama di Madinah,” katanya.

Oleh itu, menurutnya, sebagai umat Islam yang cintakan keamanan, Malaysia mampu bangun semula demi melihat keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, ujar Asrul, keikhlasan amat diperlukan dalam menjayakan agenda perpaduan ummah ini tanpa ada ‘udang di sebalik mi’.

“Jika ada dalam kalangan kumpulan atau individu yang membawa matlamat dan cita-cuta tersendiri sudah pasti ia akan menempa kegagalan,” ujarnya.

Baru-baru ini, Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS menegaskan akan kepentingan ta’awun siyasi atau penyatuan politik melibatkan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) supaya politik orang Islam-Melayu di negara ini kekal relevan.

Ustazah Nor Shahirah.

Sementara Ketua Dewan Muslimat Negeri Perlis, Ustazah Nor Shahirah Mat Salleh juga menyatakan dukungan yang sama demi menjamin sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.

“Kita perlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil demi untuk memacu ekonomi negara di samping menghadapi pandemik Covid-19. 

“Justeru itu, ketiga-tiga parti utama ini (PAS, Umno dan Bersatu) wajar mengenepikan segala kepentingan peribadi demi mencapai hasrat tersebut bukan hanya sekadar untuk Pilihanraya ke-15 (PRU-15) nanti,” katanya.

Ustaz Idris Yaakob.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis, Ustaz Idris Yaakob pula berkata, keputusan MSU itu amat bertepatan dan selari dengan tuntutan Allah dan Rasul. 

“Islam menyeru umatnya bersatu dan berukhuwah atas prinsip akidah yang sahih malah perpecahan amat dibenci oleh Allah dan Rasul.

“Bukan itu sahaja, perpecahan akan menyebabkan umat Islam menjadi lemah dan akhirnya peranan umat Islam sebagai khalifah untuk menegakkan syariat Allah tidak dapat ditegakkan sepenuhnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2022

- Advertisement -