Banjir beri kesan mendalam kepada emosi mangsa

- Advertisement -

Oleh NURASYIKIN HASNAN

TEMERLOH:
Misi bantuan banjir Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) yang diketuai oleh Dr Reen Mohd Amin diteruskan ke Mentakab, semalam.

Misi itu turut disertai oleh seorang doktor pakar perubatan dalaman dan tiga orang pegawai perubatan.

Pasukan kesihatan dari Lajnah Kesihatan DMPM telah dibawa ke Kampung Batu Kapur yang terjejas teruk kerana musibah banjir.

Musibah yang berlaku memberikan kesan yang mendalam kepada emosi dan psikologi penduduk di situ. Banjir yang berlaku pada kali ini adalah luar daripada kebiasaan.

- Advertisement -

Mereka tidak menjangka air banjir akan naik mencapai ketinggian 17 kaki, hampir melebihi paras bumbung rumah.

Mereka terkejut apabila pulang dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS), hampir keseluruhan rumah dan harta mereka musnah.

Ada mangsa yang mengalami tekanan dan tidak sanggup untuk masuk ke dalam rumah sendiri melihat kemusnahan yang terjadi. Malah ada yang terkejut kerana ini adalah kali kedua rumah musnah akibat banjir.

Lajnah Kesihatan DMPM telah hadir dan menyantuni hampir 40 orang mangsa banjir di kampung itu.

Antara khidmat yang ditawarkan adalah khidmat nasihat perubatan, psychological first aid, dan pemeriksaan kesihatan fizikal.

Faktor terdedah kepada air banjir dalam masa yang lama turut memberi kesan pada kesihatan kulit mangsa banjir, maka preskripsi ubat-ubatan yang bersesuaian turut diberikan.

Sehari sebelum itu, lajnah berkenaan dan Lajnah Perpaduan Nasional DMPM memberikan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar bandar Temerloh.

Ziarah kali ini turut disertai oleh Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Pahang yang diketuai oleh Dr Asyikin Hashim serta Dewan Muslimat PAS kawasan yang diketuai oleh Ustazah Alwiah Kasdan.

Pergerakan misi pula dikoordinasikan oleh Khidmat Malaysia (Melaka), Khidmat Malaysia (Temerloh) dan Haji Rosli selaku Ketua Bilik Operasi Khidmat Malaysia Temerloh.

Dalam ziarah itu, pihak lajnah telah menyantuni sekitar 50 keluarga berbangsa Cina dan India, merangkumi tiga kawasan penempatan dalam Temerloh.

Untuk memastikan komunikasi yang berkesan dan memahami situasi sebenar mangsa banjir dalam kalangan bangsa mereka, Lajnah Perpaduan Nasional DMPM telah hadir bersama-sama dengan penterjemah bahasa, Farah Foo.

Kebanyakan mangsa menyifatkan bencana banjir pada kali ini adalah di luar jangkaan daripada kebiasaan.

Menurut mereka, sekiranya dahulu air tidak akan memasuki rumah, kini banjir mencecah paras pinggang.

Semasa kejadian, kebanyakan mangsa terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kini mangsa telah pulang ke rumah masing-masing dan menjalankan aktiviti pembersihan.

Lajnah Kesihatan DMPM turut memberikan khidmat nasihat perubatan dan sumbangan kit medik buat mangsa banjir yang terjejas.

Psychological first aid turut dijalankan dan berdasarkan pemerhatian, mangsa banjir di kawasan itu masih boleh menerima musibah yang terjadi dan keadaan emosi mereka adalah stabil.

Kanak-kanak juga antara golongan yang terkesan dengan musibah banjir itu.

Lajnah Perpaduan Nasional turut membawa sumbangan barang permainan untuk menceriakan anak-anak mangsa banjir.

Dewan Muslimat PAS kawasan juga menyediakan sumbangan toto, tikar dan bantal.

Sumbangan wang ringgit juga turut diberikan untuk kegunaan mangsa membeli semula barangan keperluan rumah yang telah rosak akibat banjir. – HARAKAHDAILY 4/1/2022

- Advertisement -