Muslimat PAS Perlis rancang gerak kerja 2022-2023

Nor Shahirah Mat Salleh
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Selepas banyak program tertangguh sebelum ini akibat penularan wabak Covid-19, Dewan Muslimat PAS Perlis mengadakan ‘retreat’ bagi membincangkan Pelan Tindakan Strategik tahun 2022-2023.

Ketuanya Nor Shahirah Mat Salleh berkata, program tersebut dihadiri Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) dewan berkenaan bertujuan merancang gerak kerja tahun ini dan 2023.

- Advertisement -

Katanya, perbincangan diadakan bagi menyusun aktiviti secara sistematik dan berfokus.

“Ia juga dapat mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan ahli jawatankuasa memandangkan sebelum ini kita hanya bertemu di atas talian sahaja.

“Peluang program berkenaan diharap dimanfaat sebaik mungkin semua AJK lajnah supaya tiada pertindihan program dan dapat mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya di sini.

Pemukiman pada Sabtu lepas itu diadakan sehari bertempat di Glass Hall, Tasik Timah Tasoh.

Shahirah juga berkata, gerak kerja jemaah wajar disusun dan dirancang dengan rapi bagi memperkasakan lagi peranan setiap lajnah Dewan Muslimat PAS Perlis.

“Saya nukilkan kata-kata nasihat Saidina Ali ‘sesuatu kebaikan yang dibuat secara tidak tersusun akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang dibuat secara tersusun’.

“Hasil perbincangan tersebut sangat penting dalam melaksanakan gerak kerja parti. Semoga setiap AJK akan mendapat suntikan semangat baru dalam melaksanakan aktiviti yang dirancang,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2022