Mahkamah arah penduduk pindah, MB arah cari lot baru

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Menteri Besar melahirkan simpati terhadap masalah dialami 30 keluarga di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Petani yang diarah Mahkamah Tinggi Alor Setar mengosongkan tanah yang mereka diami.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau mengarahkan Pegawai Daerah (DO) Kuala Muda, Dato’ Abdullah Hashim mencari lokasi sesuai untuk membantu penduduk terbabit.

“Simpati saya terhadap kesukaran dan kesusahan rakyat. Semoga tapak rumah untuk mereka dirikan rumah sebagai tempat berteduh segera diperolehi,” katanya melalui hantaran laman sosialnya semalam.

- Advertisement -

Media melaporkan 30 keluarga di kampung terbabit menerima notis Mahkamah Tinggi Alor Setar supaya mengosongkan tanah yang mereka diami selewat-lewatnya 3 Januari 2022.

Penduduk menerima notis arahan berpindah pada 19 Disember lalu setelah tanah seluas 44.2 hektar yang didiami lebih 40 tahun dikatakan milik seorang individu bergelar Dato’.

Sanusi juga berkata, penduduk berkenaan pernah dijanjikan kerajaan negeri pada 2014 bagi menyelesaikan masalah tersebut, namun tidak menjadi kenyataan.

“Apabila Mahkamah Tinggi sudah membuat penghakiman, kerajaan tidak boleh lagi campur tangan kerana konsep pengasingan kuasa dalam sistem kita tidak membenarkan perkara itu.

“Pegawai Daerah dan pegawai di Pejabat Tanah Kuala Muda sedang mencari ikhtiar. Saya berharap mereka dapat membantu selesaikan masalah tersebut. Semoga ada sinar untuk mereka,” tambahnya.

Oleh itu katanya sebelum proses tersebut diselesaikan, penduduk terlibat disaran mencari rumah sewa atau penempatan sementara.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Baru Pulau Tiga, Saheme Hashim, 54 berkata, pada peringkat awal tanah itu dipercayai milik kerajaan negeri sejak 1960-an.

Malah katanya penduduk pernah membuat permohonan lesen menduduki sementara tanah (TOL) pada 1992 dan 1999, namun ditolak Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda dengan memaklumkan tanah kawasan itu ada pemiliknya. – HARAKAHDAILY 3/1/2022