‘Kegilaan’ ramai berkunjung ke Pantai Melawi

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

BACHOK:
Pantai Melawi sebelum ini sekadar penempatan nelayan yang terletak di tepi pantai. Ada deretan bangsal berteduh dengan daun kelapa tempat nelayan menurunkan hasil laut.

Orang ramai boleh mendapatkan ketam segar harga agak murah dengan menunggu nelayan pantai pulang dari laut.

Ketam, sotong dan ikan yang ditangkap nelayan didaratkan di Pantai Melawi dan dijual terus kepada orang ramai dan peniaga.

- Advertisement -

Nelayan yang baru pulang bot mereka didaratkan di pantai tanpa ada jeti. Mereka menyediakan tongkol kayu bulat sebagai rel untuk menarik bot ke darat.

Semangat gotong royong itu mereka pertahankan sejak dahulu lagi. Ada ketikanya bot ditarik menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau traktor kecil.

Hari ini segalanya sudah berubah. Menjejaki kaki ke Pantai Melawi tidak lagi kelihatan bot-bot nelayan yang baru pulang menangkap ikan.

Sebaliknya lokasi itu menjadi tumpuan ramai selepas dibangunkan sebagai lokasi pelancongan baru. Dilengkapi laluan penjalan kaki, ruang parkir, tandas, gerai jualan, tugu kincir angin dan denai laut.

Sebahagian prasarana tersebut masih dalam proses pembangunan. Biarpun belum siap sepenuhnya, namun sudah menjadi tumpuan ramai.

Produk pelancongan itu yang dibangunkan Majlis Daerah Bachok (MDB) ternyata membuahkan hasilnya.

Kehadiran ramai pengunjung membolehkan penduduk tempatan mencari rezeki dengan menjual makanan ringan dan minuman. Ada juga penduduk yang membuka gerai jualan di hadapan rumah.

Biarpun semalam (Ahad) hari bekerja, namun Pantai Melawi tetap menerima kehadiran pengunjung apabila ruang parkir penuh dengan kenderaan.

Tiupan agak kencang angin Monsun Timur Laut memberi peluang pengunjung yang datang untuk melihat alunan ombak besar. Mereka merakam detik-detik ombak menerjah pantai bersaksikan ‘handphone’.

Bunyi ombak memukul pantai kedengaran dari jauh. Ia menarik perhatian orang ramai untuk menyaksikan fenomena di musim tengkujuh di Pantai Timur.

Bagaimanapun Pantai Melawi yang menjadi tumpuan pengunjung agak tercemar dengan ‘kehadiran’ longgokan kayu-kayu hanyut terdampar di pantai tersebut.

Ombak besar sebelum ini membawa batang kayu-kayu buruk dari tempat lain tersandai di Pantai Melawi.

Pengunjung berharap MDB membersihkan segera sisa-sisa kayu tersebut kerana ia boleh menjejaskan populariti Pantai Melawi yang menjadi tumpuan ramai sekarang.

Begitu juga denai kayu sepanjang 300 meter yang merentangi anak sungai dari Pantai Melawi ke Pantai Baru, hampir runtuh di bahagian hujung akibat ombak kuat sebelum ini.

Denai laut itu antara yang menjadi tarikan pelancong berkunjung ke Pantai Melawi bagi merancakkan sektor pelancongan di Bachok. Ia perlu dipertahankan ketika ‘kegilaan’ ramai berkunjung ke Pantai Melawi. – HARAKAHDAILY 3/1/2022

- Advertisement -