Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Seramai 70 sukarelawan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyertai Misi Bantuan Banjir UMK di Temerloh dalam misi membantu mangsa banjir di kawasan terbabit.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Razli Che Razak berkata, antara tujuan misi berkenaan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan, selain mengesan pelajar UMK yang terjejas di kawasan sekitar yang dilanda banjir.
Menurutnya, melalui misi bantuan itu, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan menenangkan keadaan pelajar yang terjejas dengan kehadiran sukarelawan UMK.
“Selain itu, sumbangan wang tunai dan kotak makanan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)-UMK Prihatin turut disumbang kepada enam pelajar terjejas banjir,” katanya pada satu kenyataan semalam.
Beliau menambah, misi tersebut turut mendapat kerjasama anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Suksis), Sukarelawan Siswa Siswi Koreksional (Siskor), Pasukan Latihan Simpanan (Tentera Laut), Pasukan Briged Gayong Malaysia dan sukarelawan pelajar.
Sebelum itu beliau menyempurnakan pelepasan Misi Bantuan Banjir UMK-MAYC Daerah Angkat KPT ke Pahang, di Pusat Hentian Rehat (RNR), Gua Musang.
Turut hadir, Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd Syahbuddin Hashim merangkap Adun Galas; Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UMK, Prof Madya Ts Dr Muhamad Saufi Che Rusuli dan Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Mohd Ramdan Shafian.
Muhamad Saufi turut memberitahu, misi bantuan berkenaan diadakan di Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab dan Perumahan Makmur Karak Setia Idaman Lakeview, Bentong.
Beliau berkata, kumpulan pertama operasi pembersihan melibatkan kawasan perumahan di Bentong yang diketuai Mohd Ramdan, manakala pasukan kedua operasi pembersihan melibatkan kawasan sekitar perumahan Temerloh.
Misi berkenaan turut disertai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar bersama pasukan dari KPT. – HARAKAHDAILY 2/1/2021