Usah ulangi kesilapan PRU14 lalu

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

PUTRAJAYA:
Saranan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin melalui penegasannya dalam Muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 29 Disember lalu disambut baik oleh pemimpin parti itu.

Muzakarah bersetuju untuk menegaskan kepentingan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai Majlis Syura Ulamak yang bersidang menerusi muzakarah bertajuk ‘Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan Misi Pilihan raya PAS Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)’.

- Advertisement -

Menyambut baik saranan itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim mengingatkan, parti politik orang Islam agar tidak mengulangi kesilapan pada PRU14 lalu.

Ini kerana, katanya yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi kegagalan menguruskan perbezaan dalam kalangan orang Islam akan menyebabkan kuasa politik Melayu turut terancam.

“Apa yang disebutkan oleh Mursyidul Am itu, jangan sampai hilang kekuatan ummah kita, oleh kerana kita tidak dapat menyelesaikan masalah perbezaan yang ada dan adalah sangat penting semua perlu berada di meja rundingan.

“Masing-masing tahu, baik Umno mahupun PAS sama-sama bercakap perkara yang sama tentang kepentingan perpaduan.

“Sekiranya, masing-masing boleh fokus bagaimana untuk mengenepikan perbezaan yang ada dan mencari jalan supaya dalam pilihan raya umum akan datang, jangan kita mengulangi kesilapan pada PRU14 lalu.

“Yang menyebabkan, akhirnya kekuatan politik umat Islam menjadi dalam keadaan yang sangat terancam,” tegasnya kepada Harakahdaily, ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut beliau, Tuan Guru Hashim Jasin seorang yang berpandangan jauh, matang serta berpijak di bumi nyata.

“Saya menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin. Sebenarnya, ini satu realiti senario yang berpijak di bumi nyata.

“Saya rasa ini suatu pandangan yang sangat matang serta berpandangan jauh oleh ulama-ulama kita serta pandangan yang sangat ikhlas, yang mengambil berat tentang kepentingan ummah di masa akan datang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, Amzad menyarankan kepada pimpinan Umno dan PAS agar sama-sama menjayakan MN dan PN, bagi agenda penyatuan ummah di negara ini.

“PAS sejak bermulanya Muafakat Nasional sehingga sekarang termasuklah dalam Muktamar Tahunan PAS ke-67 yang lalu, masih menegaskan pendirian PAS yang sama, tentang perpaduan ummah.

“Malah, tema muktamar yang lalu pun masih lagi ‘Islam Memimpin Penyatuan Ummah’.

“Jadi, kita dalam PAS, dalam Umno umat Islam, marilah sama-sama kita mencari jalan untuk menjayakannya.

“Ini (MN) harapan rakyat sebenarnya, harapan rakyat keseluruhan di peringkat akar umbi,” jelasnya.

Beliau menegaskan, Umno dan PAS perlu memberi fokus yang lebih serius bagi mengelakkan berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRU15 akan datang.

“Kita perlu memberikan fokus yang bersungguh untuk menjayakan, supaya dalam pilihan raya umum akan datang, kita tidak perlu lagi bertembung antara satu sama lain.

“Ini akan memberi kekuatan kepada kita untuk mentadbir negara ini dengan baik bagi menjayakan polisi dan dasar yang sangat penting.

“Jika dalam keadaan yang tidak stabil susah kita hendak perkukuhkan negara kita,” tegas pemimpin PAS itu.

Menurutnya, jika dalam keadaan kuasa politik Melayu Islam berpecah dan tidak stabil adalah sukar untuk memperkukuhkan negara. – HARAKAHDAILY 1/1/2022

- Advertisement -