Ta’awun siyasi MN-PN pastikan politik Islam-Melayu terjamin

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS yang terus mempertegaskan kepentingan ta’awun siyasi atau penyatuan politik melibatkan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah supaya politik orang Islam-Melayu di negara ini terus terjamin relevan.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan dari Al-Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin itu juga adalah penegasan kepada penegasan berkali-kali oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Mendukung penuh penegasan MSU itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas seia sekata bahawa MN dan PN perlu untuk sentiasa diperkasakan bagi mencapai kemenangan mutlak dalam PRU15 akan datang.

“Ia bagi kita bukan soal kuasa dan siapa yang memegang kuasa paling besar. Tetapi ia lebih kepada memberi jaminan supaya politik orang Islam-Melayu di negara ini terus relevan.

“Saya fikir apa disebut MSU itu menggambarkan jiwa besar PAS untuk terus memperkasakan penyatuan Islam dan Melayu di bumi Malaysia ini,” ujarnya.

Advertisement

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam pada itu menyatakan, penegasan oleh MSU tersebut merupakan saranan yang terbaik dan mujarab untuk ummat Islam khususnya di Malaysia dan dunia amnya.

“Ia sangat-sangat selari dengan kehendak al-Quran dan Sunnah Rasul SAW. Ia juga merupakan formula yang tepat demi kedaulatan Islam dan kesejahteraan hidup rakyat keseluruhannya,” ujar beliau

Ahli Dewan Negara ini juga berkata, ta’awun siyasi dipertegaskan tersebut hakikatnya adalah solusi bagi kemakmuran negara dan demi perpaduan Keluarga Malaysia yang majmuk berbilang kaum ini. – HARAKAHDAILY 1/1/2022