ALHAMDULILLAH, pagi ini memulakan pengajian sirah dengan kitab ‘Fiqh Siasah Khulafa’ ar-Rasyidin: Khalifah Abu Bakar RA’ sebagai sambungan perjalanan sirah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW yang dibacakan dalam kitab Fiqh al-Harakah daripada Sirah Nabawiah sebelum ini.
Para Khulafa’ al-Rasyidin RA dan generasi awal sangat besar jasanya lagi hebat, kerana mendapat tarbiah secara langsung daripada Rasulullah SAW, mewajibkan kita mengambil teladan daripada mereka.
Pada zaman keemasan para khulafa’, Islam telah berkembang ke segenap penjuru dunia, mengislamkan manusia, ilmu dan tamadun tanpa sebarang paksaan.
Mereka bertapak atas dasar Islam yang kukuh dengan istiqamah dan mengolah kebijaksanaan manusia daripada pelbagai bangsa, agama, budaya, masa, tempat dan situasi serta menolak unsur yang sesat dan buruk tanpa paksaan.
Selain itu, mereka juga berjaya memimpin manusia ke arah meneroka dunia sehingga akhirat, bukan menjajah negara. Hal itu demikian kerana, mereka berpaksikan tauhid secara aqidah yang benar, syariat yang adil dan akhlak yang mulia.
Ini menjadikan manusia benar-benar mengecapi erti merdeka daripada segala belenggu kehidupan dari sudut roh dan jasad, individu dan masyarakat, politik dan ekonomi.
Peranan para Khulafa’ al-Rasyidin RA yang dikelilingi oleh para sahabat yang masih hidup, menjadikan zaman itu masih murni, sehingga tetap menjadi warisan utuh daripada Rasulullah SAW.
Era tersebut melahirkan kepimpinan Ulul Amri terdiri daripada para khulafa’, umara’ dan ulama’ yang hebat dalam melaksanakan kesyumulan Islam, melaksanakan nas yang terpelihara daripada al-Quran dan al-Sunnah serta Ijtihad dalam perkara yang tiada nas.
Kuliah Dhuha Jumaat, 26 Jumadal Ula 1443H bersamaan 31 Disember 2021. – HARAKAHDAILY 31/7/2021