Kerajaan komited bantu rakyat, pulihkan ekonomi dan negara

- Advertisement -

BERIKUT adalah sebahagian petikan ucapan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam Perutusan Khas Tahun Baharu 2022 yang secara khusus menyentuh mengenai bantuan tunai kepada mangsa banjir dan kelangsungan usaha pemulihan ekonomi dan negara:

Pemberian tunai RM10,000 kepada mangsa banjir

“Keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa banjir boleh mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah. Inilah usaha Kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP. Dengan usaha ini, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar 5 peratus sekali gus mereka boleh merancang masa depan selepas bersara.”

Pemberian tunai ini ialah:
(1) RM1,000 Bantuan Wang Ihsan.
(2) RM500 untuk pembelian barangan elektrik.
(3) RM1,000 untuk pembaikan atau pembelian kenderaan.
(4) RM2,500 untuk pembelian barangan keperluan.
(5) RM5,000 untuk kerja-kerja pembaikan rumah.

Pembaikan dan pembinaan rumah untuk mangsa banjir

“Bagi rumah yang mengalami kerosakan yang tidak serius akibat banjir, kerajaan memberikan RM5,000 untuk kerja-kerja pembaikan rumah. Bagi rumah yang mengalami kerosakan serius, Kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000. Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, Kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru.”

Pindaan undang-undang, transformasi Parlimen dan kehakiman

“Selaras dengan nilai kebersamaan yang terangkum di dalam konsep dan falsafah Keluarga Malaysia, saya percaya ahli-ahli Parlimen akan turut menyokong beberapa Rang Undang-undang yang bakal dibentangkan seperti Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, Pindaan Perlembagaan serta lain-lain pindaan undang-undang dan Transformasi Parlimen. Semangat kebersamaan ini sudah pasti akan menambahkan lagi kestabilan politik di negara ini. Seiring dengan Transformasi Parlimen yang sedang dilaksanakan, Kerajaan juga bersedia untuk mengadakan transformasi di dalam sistem Kehakiman bagi memperkukuhkan demokrasi di negara ini.”

Merancakkan pemulihan ekonomi

“Kerajaan akan merancakkan pemulihan ekonomi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah diumumkan di dalam dokumen RMK-12 dan Bajet 2022 untuk memastikan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia. Ke arah itu, antara tumpuan utama Kerajaan pada tahun 2022 adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 600,000 peluang pekerjaan baharu di samping pemulihan segera sektor  Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS). Tahun 2022 juga adalah tahun untuk Malaysia kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang. Beberapa tema mustahak perlu digerakkan pada tahun 2022. Antaranya ialah pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa.”

Pembasmian kemiskinan masih menjadi keutamaan

“Perkara asas, yakni kemiskinan masih menjadi keutamaan saya. Seperti yang saya janjikan, nilai teras Keluarga Malaysia adalah Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dan tiada seorang pun yang harus tertinggal. Saya sendiri akan mengetuai inisiatif Pembasmian Kemiskinan oleh Kerajaan melalui penubuhan Unit Kemiskinan yang diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan daerah bagi menangani isu kemiskinan dan jurang pendapatan. Ini meliputi kemiskinan di bandar mahupun di luar bandar.”HARAKAHDAILY 31/12/2021

- Advertisement -
- Advertisement -