Kejayaan umat Islam bebaskan Kuala Kangsar dari arak

- Advertisement -

MAJLIS Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) akan melaksanakan larangan menjual minuman keras di kedai-kedai serbaneka di kawasan majoriti penduduk beragama Islam di daerah ini bermula tahun 2022.

Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Perak menzahirkan rasa syukur dan merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) apabila membuat keputusan memperketat penjualan minuman keras mulai tahun baharu 2022.

Terbukti peranan semua Ahli Majlis khususnya daripada PAS dan peranan seluruh masyarakat setempat dari pelbagai latarbelakang yang sentiasa bersuara bagi membawa solusi Islam untuk kebaikan keseluruhan rakyat termasuk kebajikan para pekerja Muslim di kedai-kedai serbaneka lebih-lebih lagi yang mempunyai rangkaian besar di seluruh negara.

Sudah tentu ianya suatu kejayaan bermakna kepada masyarakat Muslim khususnya apabila MPKK melaksanakan larangan menjual minuman keras di kedai-kedai serbaneka di kawasan majoriti penduduk beragama Islam setelah tindakan sama telah diambil Majlis Daerah Selama sebelum ini.

Usaha berterusan seumpana ini dapat membanteras kes kesalahan jenayah seperti memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian, keganasan rumah tangga dan juga gejala vandalisme terhadap harta benda awam.

DPPN Perak menyokong penuh kenyataan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar yang turut menyatakan kesediaan bekerjasama membantu memainkan peranan bersama MPKK termasuk tindakan dari segi penerangan dalam memberi kefahaman kepada seluruh masyarakat di Kuala Kangsar.

DPPN Perak juga mengesyorkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di seluruh negeri Perak khususnya dapat mengambil langkah wajar seumpama MDS dan MPKK demi kesejahteraan kehidupan masyarakat keseluruhannya.

“Memacu Perpaduan”
“Legasi Perjuangan”

USTAZ HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 31/12/2021

- Advertisement -
- Advertisement -