Sukarelawan banjir sebak lihat keajaiban Al-Quran

- Advertisement -

TEMERLOH: Sukarelawan banjir daripada Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu tidak dapat menahan sebak melihat keajaiban kitab suci al-Quran yang ditemui tidak basah dan rosak semasa menjalankan Operasi Bantuan di Pahang.

Pengetua Imtiaz Kemaman, Roslan Ibrahim berkata kotak yang diisi dengan kitab al-Quran terselamat walaupun Sekolah Rendah Islam At-Taqwa ditengelami air hingga paras atap.

- Advertisement -

“Pada masa itu, ia dikelilingi kotak buku lain yang rosak teruk akibat lumpur air banjir di dalam salah satu blok sekolah.

“Allah SWT telah menjanjikan kitab suci ini akan dipelihara sampai ke hari kiamat, perkara ini terbukti apabila kotak-kotak berisi buku pelajaran lain basah kuyup ditenggelami air, tapi ia terselamat,” katanya ketika ditemu bual pemberita di Kampung Paya Kecil, tengah hari semalam.

Beliau antara 38 anggota sukarelawan daripada tiga buah sekolah Imtiaz termasuk dari Kuala Berang dan Dungun yang menyertai Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang 2021.

“Kami rasa terpanggil untuk membantu sahabat-sahabat kita di sekolah ini bangkit kembali setelah dilanda bencana.

“Hari ini kami memfokuskan segala jentera di sini, dan kemudian akan beralih ke Maahad Tarbiah Islamiyah bagi hari esok.

“Kita bantu apa yang mampu dari sudut tenaga manusia dan sedikit wang ringgit kepada pihak pentadbiran sekolah sempena julung kali kami melibatkan diri dalam program kemanusiaan bencana secara berkumpulan,” katanya lagi. – TRDI.my

- Advertisement -