Sorotan sosiopolitik 2021: Cabaran berganda buat negara

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

Tinggal sehari sahaja lagi kita semua akan melangkah ke tahun 2022, dan meninggalkan 2021 yang dipenuhi dengan pelbagai kenangan pahit dan manis ini.

Menjelang 1 Januari 2022 yang jatuh pada hari Sabtu kelak, sudah pasti ia diharapkan bakal membuka kepada sebuah lembaran baharu buat negara dalam menongkah arus perjalanan, serta meneruskan langkah dan kayuhan demi membawa keluarga besar Malaysia ini kepada sebuah kehidupan masa depan yang lebih maju dan makmur.

Sepanjang 362 hari dilalui, diari 2020 bernoktah dengan cabaran berganda, berupa sebuah koleksi pelbagai ujian luar biasa, bukan sahaja terhadap rakyat jelata tetapi sudah tentu buat kepimpinan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

- Advertisement -

Sebagai Perdana Menteri kesembilan yang dilantik secara rasmi pada 20 Ogos 2021, beliau memikul tanggungjawab yang besar dan berat dalam mengepalai negara ini dalam tempoh kir-kira enam bulan kedua 2021, khususnya untuk memerangi pandemik Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya itu, selepas tempoh enam bulan pertama 2021 berada di bawah kepimpinan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sejak kes pertama Covid-19 di Malaysia telah disahkan pada 25 Januari 2020 melibatkan pelancong dari China yang tiba di Johor melalui Singapura, kerajaan di bawah Muhyiddin (yang dilantik sebagai Perdana Menteri mulai 29 Februari 2020) telah berjaya mengendalikan pandemik virus berkenaan dengan baik, khususnya dari segi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa di seluruh negara mulai  18 Mac 2020.

Impaknya adalah penurunan bilangan kes jangkitan baharu pada awal bulan Mac 2021, membolehkan kerajaan menamatkan PKP di seluruh Malaysia.

Malangnya, PKP terpaksa kembali dilaksanakan di beberapa buah negeri sejak pertengahan bulan April 2021 berikutan peningkatan semula bilangan kes jangkitan harian Covid-19.

Ibu kota Kuala Lumpur lengang ketika ‘total lockdown’ Fasa Pertama mula dilaksanakan pada 1 Jun 2021.

Impak daripada kemunculan varian baharu Covid-19, SARS-C0V-2 yang dikesan di negara ini, ditambah dengan lonjakan jumlah kes jangkitan dan kematian harian Covid-19 yang tinggi, kerajaan akhirnya terpaksa melaksanakan  semula PKP di seluruh negara mulai 12 Mei 2021.

Kemudian, kerajaan mengukuhkan PKP dengan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula 1 hingga 14 Jun 2021, yang kemudian dilanjutkan sehingga tempoh yang tidak ditentukan susulan penyebaran Covid-19 yang semakin berterusan sehingga menyebabkan keupayaan sistem kesihatan di beberapa buah kawasan di negara ini lumpuh.

Pandemik ini sesungguhnya telah memberikan impak negatif terhadap ekonomi negara dengan berlaku penurunan nilai mata wang dan penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain memberi kesan sosial yang mendalam terhadap psikologi masyarakat Malaysia.

Muhyidddin memegang tampuk pemerintahan kerajaan negara dalam tempoh kira-kira enam bulan pertama 2021, sebelum Ismail Sabri menggantikan beliau untk menerajui kepimpinan kerajaan bagi tempoh enam bulan kedua 2021.

Justeru, boleh dilihat sebenarnya permulaan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 berlaku serentak dengan krisis politik negara yang telah mengganggu tindakbalas awal kerajaan di bawah Muhyiddin, sejurus beliau mengambil alih pemerintahan daripada Perdana Menteri kelapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan pada 24 Februari 2020.

Keadaan diburukkan lagi dengan pengulangan gelombang jangkitan Covid-19 serta pengisytiharan darurat yang memberikan impak negatif terhadap kestabilan politik negara sehingga ia berterusan sepanjang tahun 2020 dan enam bulan pertama 2021.

Ini membawa peletakan jawatan Muhyiddin menjelang 16 Ogos 2021 selepas beliau kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat Malaysia diketuai mantan Timbalan Perdana Menteri (2015-2018) yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Program vaksinasi untuk orang ramai di Malaysia mula dilaksanakan sejak akhir Februari 2021.

Muhyiddin bagaimanapun menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Kerajaan Persekutuan Malaysia sehingga 21 Ogos 2021, sebelum pelantikan rasmi Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu.

Namun, jasa Muhyiddin tetap berbekas melalui program vaksinasi negara yang juga dikenali sebagai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), yang mula dilaksanakan sejak akhir Februari 2021. 

Impaknya sehingga 30 Disember 2021, menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal COVIDNOW, 78.4 peratus daripada bilangan rakyat secara keseluruhan dan 97.6 peratus populasi dewasa di negara ini sudah divaksin sepenuhnya.

Namun, kemunculan varian baharu Covid-19, dikenali sebagai Omicron dengan kes pertama di negara ini diumumkan pada 3 Disember 2012 membabitkan pelajar dari Afrika Selatan, ternyata kembali menimbulkan kebimbangan umum terhadap pandemik Covid-19.

Kemunculan varian baharu, Omicron menambahkan lagi cabaran buat negara yang sedang memerangi penularan Covid-19.

Merujuk data terkini KKM, sejumlah 3,997 kes harian jangkitan baharu Covid-19 dicatat pada hari ini (30 Disember 2021 sehingga jam 12 tengah hari), dengan sebanyak 62 kes varian Omicron telah direkodkan secara keseluruhan.

Biarpun begitu, senario Covid-19 ketika ini masih berada dalam keadaan terkawal sehingga tidak memerlukan pelaksanaan semula PKP yang menunjukkan impak kepimpinan Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilantik oleh kabinet Ismail Sabri melalui pengumuman rasmi pada 27 Ogos 2021.

Pengumuman kabinet Ismail Sabri sehubungan itu juga telah disambut baik oleh PAS terutama apabila portfolio hal ehwal Islam diberikan kepada parti itu melalui pelantikan Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Tuan Ibrahim menjadi kebanggaan dalam mengangkat martabat bahasa kebangsaan negara apabila berucap dalam bahasa Melayu sempena Sidang Peringkat Tertinggi UNFCCC COP-26 di Glasgow, Scotland, United Kingdom pada 10 November 2021.

Begitu juga Setiausaha PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan yang dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, serta pelantikan semula Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.

Lima lagi Ahli Parlimen PAS dilantik sebagai timbalan menteri ialah Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri-Hal Ehwal Agama), Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato’ Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), dan Dato’ Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia).

Pendek kata, melalui pelantikan pemimpin-pemimpin PAS tersebut dalam kabinet Ismail Sabri turut memberikan impak terhadap sosiopolitik 2021 negara.

Khidmat kemasyarakatan PAS, antara yang paling terkesan terhadap kebajikan masyarakat di negara ini ialah dalam menangani kesukaran dan keperitan yang dialami rakyat, khususnya apabila Malaysia dilanda bencana banjir. 

Musibah ini jelas sekali merupakan cabaran berganda buat negara selepas pandemik Covid-19 yang belum terhapus sepenuhnya itu.

Jabatan Amal Malaysia giat dan gigih turun padang membantu mangsa banjir sejak Januari 2021 lagi.

Sejak awal tahun ini lagi, bermula 3 Januari 2021, Pemuda PAS telah mengarahkan ahlinya dan semua anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) bersiap sedia untuk bergerak membantu mangsa banjir di kawasan masing-masing terutama di pantai timur dan selatan.

Ia adalah ekoran situasi keadaan cuaca buruk yang dilaporkan di negeri-negeri terbabit dan beberapa tempat yang semakin kritikal pada ketika itu.

Pada 8 Januari 2021, seramai 3,000 anggota unit JAM, Dewan Pemuda PAS (DPP) dari seluruh negara telah dikerah untuk berkhidmat kepada rakyat yang terkesan akibat bencana banjir kali ini, termasuk di Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka.

Negara dikejutkan dengan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Ampang susulan hujan lebat selama tiga jam pada 22 November 2021.

Dalam kejadian banjir kilat di Ampang akibat hujan lebat selama tiga jam di Lembah Klang pada 22 November 2021, yang menyebabkan Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan dilanda banjir kilat setinggi antara 0.3 meter hingga 1.5 meter, pihak JAM telah bertungkus lumus membantu mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Anggota JAM sehubungan itu telah berkampung selama tiga hari  untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Pada 24 November 2021, seramai kira-kira 50 anggota JAM telah berpadu tenaga mengangkat  jambatan besi selebar tiga kaki yang menghubungkan ke lokasi dua buah rumah penduduk yang turut terjejas akibat banjir lumpur berkenaan.

Justeru apabila Lembah Klang khususnya di Hulu Langat dan Shah Alam, Selangor telah dilanda banjir besar di luar jangkaan susulan hujan lebat bermula jam 6 petang pada Jumaat, 17 Disember 2021, sebelum bencana ini dilaporkan berlaku hampir di seluruh negara, PAS telah mengambil langkah segera.

Banjir besar melanda Selangor dan Kuala Lumpur di Lembah Klang bermula pada 17 Disember 2021 sebelum beberapa negeri lain termasuk Pahang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Terengganu turut dilanda banjir.

Semua PAS negeri, kawasan dan cawangan telah diarahkan supaya membantu mangsa banjir di tempat masing-masing dan juga kawasan berhampiran mengikut mana yang berkaitan. 

Anggota JAM dan Khidmat Malaysia PAS telah bertindak sebagai Penyelaras Operasi bagi menyelaraskan kerja-kerja bantuan dan menyelamat. 

Bilik Gerakan Utama pula dibuka di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, manakala negeri-negeri dan kawasan-kawasan melancarkan bilik operasi di tempat masing-masing mengikut kesesuaian.

PAS Kedah bermurah hati menyumbang sebanyak RM50,000 untuk membantu mangsa banjir di Pahang.

Di samping itu PAS negeri-negeri juga telah  melancarkan Derma Bencana Banjir dalam kalangan ahli PAS dan orang awam untuk turut membantu pembiayaan pengurusan banjir.

Pada 23 Disember 2021, Pas Terengganu menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) telah menghantar 800 sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang.

Seramai 400 sukarelawan berada di Kuantan bagi membantu membersihkan kediaman penduduk ditenggelami air, manakala baki 400 lagi diarahkan ke Temerloh bagi tugasan sama.

Pas Terengganu juga sehubungan itu turut menyumbangkan wang RM50,000 kepada kerajaan negeri Pahang.

Sebenarnya pada 21 Disember 2021 sehingga jam 4 pagi, sebanyak 62,999 orang daripada 14,023 keluarga membabitkan lapan negeri iaitu, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang yang menjadi mangsa banjir telah ditempatkan 430 Pusat Pemindahan (PPS) seluruh negara.

Cabaran pahit dan getir yang dialami rakyat Malaysia sepanjang 2021 bukan isu politik tetapi suatu isu kemanusiaan.

Maklumat Twitter Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Pahang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 34,924 orang daripada 8,881 keluarga meningkat berbanding 3,204 orang daripada 8,385 keluarga.

Selangor mencatatkan 22,947 orang diikuti Kelantan (3,593), Melaka (564), Kuala Lumpur (415), Perak (285), Negeri Sembilan (208) dan Terengganu (63). 

Sehubungan itu, keprihatinan kerajaan terhadap mangsa banjir hujung tahun di negara ini terbukti apabila pada 29 Disember 2021, Ismail Sabri telah mengumumkan peruntukan RM1.4 bilion Bantuan Keluarga Banjir Malaysia.

Di bawah inisiatif tersebut, kerajaan telah melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan (BWI) termasuk RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.

Sebahagian daripada peruntukan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir besar Disember 2021.

Kerajaan turut menyalurkan bantuan kepada semua KIR yang terkesan termasuk kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Selain itu, bantuan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia, malah mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir juga boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut.

Bayaran BWI telah dibuat kerajaan negeri bermula Isnin, 27 Disember 2021 dan dijangka selesai dalam minggu ini. Namun, Selangor dan Pahang mungkin berlaku sedikit kelewatan berikutan ia melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

Data terkini kerajaan mengumumkan bahawa lebih 30,000 KIR telah didaftarkan untuk menerima BWI. 

Kerajaan prihatin dengan nasib rakyat di seluruh negara yang menjadi mangsa banjir Disember 2021 dengan mengumumkan peruntukan RM1.4 bilion Bantuan Keluarga Banjir Malaysia.

Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri, sementara bayaran BWI untuk kematian pula, seramai 25 orang waris telah menerima bantuan RM10,000 bagi bayaran BWI untuk kematian mangsa banjir.

Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pascabanjir selain menambah RM50 juta lagi khusus untuk Selangor dan Pahang bagi tujuan yang sama.

Peruntukan ini akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam yang rosak, selain kerajaan juga memperuntukkan RM10 juta tambahan, antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa.

Bagi menambah akses tunai kepada mangsa banjir yang memerlukan bantuan kewangan, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar sifar peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun, termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

Banjir besar yang melanda negara khususnya di Lembah Klang pada Disember 2021 bukan sahaja akan diingati sebagai kenangan pahit 2021, tetapi ia menjadi titik tolak buat negara untuk meneruskan langkah dalam membawa keluarga besar Malaysia kepada sebuah kehidupan masa depan yang lebih gemilang.

Selain itu, Bank Negara Malaysia juga dengan ketersediaan dana RM500 juta telah menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro.

Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun.

Ternyata, bencana banjir hujung tahun ini menambahkan lagi cabaran buat negara yang masih lagi dalam medan perang melawan Covid-19, khususnya dengan kemunculan varian baharu Omicron.

Namun, ia telah menyediakan ruang dan peluang buat kerajaan untuk menyerlahkan kredibiliti bagi mengatasi dan menyelesaikan semua cabaran yang dihadapi sepanjang 2021 bahawa semua ini adalah suatu isu kemanusiaan dan bukan isu politik. Selamat menjengah ke tahun 2022. – HARAKAHDAILY 30/12/2021

- Advertisement -