Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Ramai penduduk Kelantan mulai bersiap sedia kemungkinan berlaku banjir gelombang kedua berikutan amaran hujan lebat dikeluarkan pihak berkuasa.
Keadaan cuaca di Kota Bharu agak redup dan berangin sejak petang semalam, manakala hujan lebat berlaku di Kuala Krai dan kawasan pedalaman pagi ini.
Antara kawasan sering dilanda banjir di Kelantan iaitu Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.
Tinjauan Harakahdaily ke beberapa kampung antaranya Kampung Tersang, Kampung Lubok Gong dan Kampung Lachang di Rantau Panjang, penduduk kembali ke kediaman masing-masing selepas rumah mereka ditenggelami banjir selama seminggu.
Banjir berlaku di kampung berkenaan sejak 17 Disember.
Bagaimanapun tinjauan ke Kampung Tersang, Kampung Luar, Kampung Lachang, Padang Licin, Pengkalan Rakit dan Gual To’Deh semalam mendapati kampung terbabit masih digenangi air antara 0.2 sehingga 0.4 meter.
Biarpun selepas pulang ke rumah masing-masing, namun mereka bersedia kembali ke pusat penempatan sementara (PPS) sekiranya banjir berulang semula.
Seorang penduduk Abdullah Awang Noh, 65, berkata, beliau bersedia menghadapi gelombang kedua banjir memandangkan kampungnya masih digenangi banjir.
“Kami pulang ke rumah pada Isnin lalu setelah banjir yang menenggelamkan rumah sehingga dua meter sekarang sudah surut.
“Baru-baru ini pakcik dan keluarga berpindah ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh. Ini merupakan kali pertama kami berpindah ke PPS setelah rumah ditenggelami banjir.
“Biarpun luluh hati melihat barangan berselerakan akibat ditenggelami air bah, namun kami tetap bersyukur kerana dapat kembali ke rumah,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk Mek Dah Salleh, 65, yang juga mangsa banjir baru-baru ini, turut bersedia berpindah lagi ke PPS sekiranya gelombang kedua berlaku.
Menurutnya juga lima kereta milik anak-anaknya hampir dibawa arus deras, namun sempat diselamatkan dengan bantuan penduduk kampung.
Kata beliau keluarganya tidak menghirau penat dan lelah bergotong royong membersihkan rumah selepas banjir surut.
“Banyak peralatan rumah termasuk perabot dan barangan elektrik rosak kerana ditenggelami banjir,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/12/2021