Banduan ditahan semula lima jam selepas larikan diri

- Advertisement -

SEREMBAN: Polis berjaya menahan seorang banduan di sebuah stesen minyak di sini, kira-kira lima jam selepas menerima laporan mengenai kehilangan banduan berkenaan yang melarikan diri dari Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Nilai dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata pada mulanya polis menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berumur 29 tahun itu yang melarikan diri daripada PRP itu pada pukul 12.54 tengah hari.

- Advertisement -

Beliau berkata sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai kemudiannya melancarkan operasi dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bagi mengesannya di sekitar kawasan berhampiran.

“Pada pukul 5.15 petang, polis menahan banduan itu di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira empat kilometer dari PRP berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya banduan yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2019 atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu ditempatkan di PRP berkenaan bagi tujuan pemulihan, setelah menjalani hukuman penjara selama dua tahun di Penjara Kajang, Selangor.

Mohd Fazley berkata kes disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja lari atau mencuba larikan diri daripada tahanan yang sah. – BERNAMA

- Advertisement -