Penduduk mahu surau, tanah kubur diwartakan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Selama hampir 40 tahun para penduduk kampung membina dan mengimarahkan surau serta melakukan pengebumian jenazah di perkuburan yang belum diwartakan untuk tujuan itu di Gebeng, Kuantan, di sini.

- Advertisement -

Statusnya yang demikian menimbulkan bimbang dalam kalangan penduduk terhadap masa depan dan pusaka umat Islam itu untuk lebih berperanan dan mempertanggungjawabkan hal ehwal kehidupan bermasyarakat di situ.

ADUN Beserah, Andansura Rabu yang diundang bertemu Ahli Jawatankuasa Surau Gebeng berbincang isu tersebut memahami dan menyatakan kesediaannya memanjangkan perhatian perkara itu kepada pihak berwajib.

“Mereka minta jelas mengenai status pendaftaran tanah kubur di Gebeng serta surau tersebut. Sebab tanah kubur telah digunakan, namun tiada sebarang pewartaan atau tiada dokumen yang boleh membuktikan tanah perkuburan itu telah diwartakan.

“Jadi kita telah berbincang dan saya akan merujuk kepada Pejabat Kadi Daerah Kuantan untuk mendapatkan penjelasan status tersebut sebab isu ini dah lama sangat dah 30, 40 tahun tidak dapat diselesaikan.

Insya-Allah pihak saya akan membantu usahakan untuk mencapai tujuan tersebut dan yakin hal-hal berbangkit boleh dirungkai dan diselesaikan sebaiknya,” ujarnya.

Salah seorang ahli jawatankuasa surau tersebut, Azman Ali berkata, surau dan tanah perkuburan di sini sudah lama dan tidak asing kepada orang awam khususnya penduduk sekitar, termasuk pekerja industri yang melalui jalan Sungai Ular ke Gebeng.

Oleh itu hal-hal berkaitan pengurusannya perlu diberi perhatian sebaiknya agar tidak timbul kesulitan untuk mereka bergerak dengan lebih proaktif memajukan surau tersebut demi kepentingan khususnya masyarakat Islam sekitarnya.

Pun begitu menurutnya, tanah perkuburan tidak boleh dipandang sepi kerana ia sebahagian maslahah orang yang masih hidup juga di mana perlu diuruskan dengan profesional dan sistematik. – HARAKAHDAILY 28/12/2021