Malaysia masih kejar impian beraksi di Piala Asia 2023

Aksi pasukan negara menentang Indonesia pada perlawanan Piala Suzuki AFF 2020 , baru-baru ini. (Kredit foto: Malaysian Football League)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tahun 2021 akan menjadi lebih bermakna bagi arena bola sepak negara dan peminat tempatan jika Malaysia berjaya menempah slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di China.

Selepas kali terakhir beraksi secara merit pada edisi 1980 di Kuwait, Malaysia hanya membuat satu penampilan di kejohanan benua itu ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, menyaksikan pasukan negara gagal meraih slot automatik dalam tempoh 41 tahun.

Skuad kebangsaan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe, menamatkan saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal Jun lepas di kedudukan ketiga di belakang pasukan tuan rumah dan Vietnam.

- Advertisement -

Ia sekali gus menutup pintu laluan pasukan negara ke Piala Dunia 2022 di Qatar, namun Malaysia masih berpeluang untuk beraksi di Piala Asia 2023, andai melepasi cabaran pusingan ketiga kelayakan yang selama ini menjadi tembok halangan, pada Jun tahun depan.

Walaupun pasukan negara dilihat memiliki peluang selepas mencatat tiga kemenangan dalam lima aksi pertama, kegagalan mara ke kejohanan itu lebih awal sudah boleh dijangka berdasarkan fasa persediaan menghadapi baki tiga perlawanan yang terkesan dengan impak Covid-19.

Impak itu menyaksikan pemain negara turun bertanding di UAE berbekalkan dua aksi persahabatan masing-masing tewas 1-4 kepada Kuwait dan 0-2 di tangan Bahrain pada penghujung Mei lepas, setelah 18 bulan tidak beraksi sebagai sebuah pasukan sejak November 2019.

Kehadiran pemain pertahanan berdarah kacukan Belgium-Malaysia Dion Cools, yang beraksi bersama pasukan Liga Denmark FC Midtjylland dalam skuad Harimau Malaya selepas mendapat kelayakan turut tidak banyak membantu prestasi pasukan negara.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatat kemenangan berganda masing-masing ke atas Indonesia dan Thailand, namun tewas dalam empat perlawanan berdepan UAE dan Vietnam sekali gus mengakhiri saingan kumpulan pusingan kelayakan dengan mengumpul 12 mata.

Pada masa sama, harapan untuk melihat Malaysia menamatkan penantian lebih 10 tahun merangkul kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) turut tidak kesampaian, apabila pasukan negara ditunjukkan jalan keluar daripada kejohanan dwitahunan itu seawal peringkat kumpulan, baru-baru ini.

Pasukan negara yang melalui fasa persiapan singkat dan mencabar dari aspek ketersediaan pemain memulakan kempen kejohanan di Singapura itu dengan cemerlang, apabila merakam kemenangan ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas di tangan juara bertahan Vietnam 0-2 dan Indonesia 1-4.

Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga mengumpul enam mata sementara Indonesia dan Vietnam melangkah ke peringkat separuh akhir masing-masing selaku juara dan naib juara kumpulan.

Pencapaian mengecewakan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya yang merupakan naib juara edisi 2018 gagal mencapai sasaran diletakkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu layak ke final.

Bagaimanapun, peminat bola sepak masih boleh tersenyum apabila skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022 yang bakal berlangsung di Uzbekistan pada Jun tahun depan.

Kejayaan tersebut susulan kecemerlangan skuad bimbingan ketua jurulatih Brad Maloney muncul juara Kumpulan J pusingan kelayakan kejohanan itu di Ulaanbaatar, Mongolia pada Oktober lepas meskipun tanpa sebarang pendedahan aksi persahabatan antarabangsa.

Anak buah Maloney yang majoritinya berusia 20 tahun ke bawah berjaya mencatat kemenangan ke atas Laos dan skuad tuan rumah sebelum seri dengan Thailand yang turut mara ke pusingan akhir selaku naib juara kumpulan.

Dalam kancah wanita, Malaysia di bawah kendalian Ketua Jurulatih Jacob Joseph gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Wanita 2022, selepas mencatat satu kekalahan dan kemenangan masing-masing berdepan Thailand dan skuad tuan rumah dalam pusingan kelayakan di Palestin Sept lepas.

Di peringkat domestik, saingan Liga Malaysia (Liga-M) melibatkan Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia, berjaya dilangsungkan di sebalik ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19 yang menyaksikan kehadiran penyokong ke stadium antara yang terjejas bagi mengawal penularan wabak berbahaya itu.

Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi menjadi tumpuan apabila memenangi Piala Sumbangsih dan merangkul gelaran juara Liga Super buat kali kelapan berturut-turut, manakala kejuaraan Liga Premier menjadi milik Negeri Sembilan FC yang menerima saingan sengit Sarawak United hingga hujung musim.

Penyerang import Selangor FC Ifedayo Omosuyi muncul penjaring terbanyak Liga Super selepas meledak 26 gol, sementara pemain JDT II Fernando Rodriguez dan Jordan Mintah (Terengganu FC II) berkongsi 16 gol sebagai penjaring terbanyak saingan Liga Premier.

Namun, tanggal 30 Nov menjadi tarikh cukup istimewa buat pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) apabila berjaya menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia, selepas mengejutkan juara bertahan JDT 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, pembangunan di peringkat belia terus dihimpit impak Covid-19 ekoran keputusan FAM membatalkan saingan Piala Belia dan Piala Presiden, yang merupakan pembatalan untuk tahun kedua berturut-turut.

Badan induk itu turut mengambil keputusan membatalkan saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dan pertandingan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah, atas sebab pandemik.

Apa yang membanggakan, empat legenda negara diisytihar sebagai anggota terbaharu Kelab Abad Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikhaskan untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas.

Tujuh legenda itu adalah Datuk Soh Chin Ann yang mengumpul 195 penampilan, Datuk Abdul Shukor Salleh (163), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138), Mendiang Datuk R. Arumugam (131), Zainal Abidin Hassan (116), Mendiang Datuk M. Chandran (115) dan Datuk Santokh Singh dengan 100 penampilan.

Dalam pada itu, Datuk Hamidin Mohd Amin berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden FAM untuk penggal 2021-2025, yang juga penggal keduanya menduduki kerusi itu selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57 Mac lepas.

Namun beliau melepaskan jawatan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyaksikan Datuk Ab Ghani Hassan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif badan pentadbir Liga-M itu dipilih sebagai Presiden MFL yang baharu.

Dengan segala episod suka dan duka ditempuh ‘keluarga’ besar bola sepak negara tahun ini, semoga ia menjadi pembakar semangat untuk kembali bersinar dengan harapan utama pastinya ingin melihat skuad kebangsaan melakar pencapaian membanggakan layak beraksi di pentas Piala Asia 2023. – BERNAMA

- Advertisement -