JAKARTA: Kementerian Pengangkutan Indonesia akan menarik balik larangan terhadap penggunaan Boeing 737 MAX, tiga tahun selepas syarikat penerbangan negara itu, Lion Air, hilang sebuah pesawat dalam kemalangan ketika penerbangan domestik.
Seramai 189 orang terbunuh apabila pesawat itu terjunam ke dalam Laut Jawa sebaik berlepas pada Oktober 2018. Kemalangan sama yang meragut ramai nyawa membabitkan pesawat Ethiopian Airlines 737 MAX pada Mac 2019 menyebabkan pihak berkuasa penerbangan seluruh dunia menghentikan sementara penggunaan pesawat itu.
Kelulusan pihak berkuasa Indonesia diberikan beberapa bulan selepas penggunaan pesawat itu dibenarkan di Amerika Syarikat dan Eropah, selain beberapa negara seperti Australia, Jepun, India, Malaysia dan Singapura.
Kementerian Pengangkutan Indonesia menyatakan negara itu akan mengikut jejak langkah negara lain menarik balik sekatan itu selepas penilaian dibuat terhadap perubahan sistem penerbangan pesawat berkenaan.
Juruterbang syarikat penerbangan berpangkalan di Indonesia juga akan mengikuti latihan tambahan menggunakan simulator sebelum menggunakan pesawat itu.
Syarikat penerbangan swasta, Lion Air, memiliki 10 pesawat 737 MAX sebelum larangan itu dikuatkuasakan, tidak memberi maklum balas ketika diminta memberi ulasan.
Syarikat penerbangan kebangsaan, Garuda Indonesia, pula tidak merancang menggunakan semula pesawat itu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Irfan Setiaputra, berkata fokus syarikat sekarang ialah meneruskan proses penstrukturan hutang. – HARAKAHDAILY 28/12/21