Covid-19: Pakar kesihatan cadangkan Itali longgarkan kuarantin

- Advertisement -

ROME: Pakar kesihatan menggesa kerajaan Itali melonggarkan peraturan kuarantin Covid-19 atau negara berisiko lumpuh ketika berdepan ancaman varian Omicron yang boleh merebak dengan lebih pantas.

Mengikut peraturan sedia ada, individu yang menjadi kontak rapat kepada penghidap Covid-19 perlu melakukan pengasingan kendiri selama tujuh hari jika telah menerima vaksin dan 10 hari jika tidak divaksin langsung.

- Advertisement -

Ketua Yayasan Kesihatan Gimbe, Nino Cartabelotta, berkata setiap orang yang positif Covid-19, secara purata mempunyai antara lima hingga 10 kontak rapat dan menjangka dalam tempoh 14 hari, kira-kira sejuta penduduk Itali boleh dijangkiti virus itu.

“Ini bermakna antara lima hingga 10 juta kontak perlu dikuarantinkan dan ini suatu perkara yang mustahil,” katanya.

Virologis, Fabrizio Pregliasco, pula berpandangan: “jelas bahawa pada peringkat ini dan dengan penyebaran Omicron, kita mesti mempertimbangkan perubahan cara kerajaan campur tangan.”

Itali mencatat peningkatan jangkitan Covid-19 pada akhir minggu lalu dengan tiga hari berturut-turut mencatatkan rekod kes tertinggi dan mencapai kemuncak sebanyak 54,762 kes pada Sabtu lalu.

Kerajaan memperketatkan sekatan pada Khamis lalu untuk mengelakkan peningkatan jangkitan. Ini termasuk melarang sambutan Tahun Baru 2022 di tempat awam serta menutup disko dan kelab malam sehingga 31 Januari ini bagi mengelakkan perhimpunan membabitkan ramai orang.

Pesuruhjaya Covid-19 kerajaan, Francesco Paolo Figliuolo, memberitahu bahawa pegawai kesihatan mempertimbangkan untuk mengubah suai peraturan kuarantin.

Sesetengah ahli politik berpandangan bahawa mereka yang menerima vaksin lengkap tidak perlu dikuarantin jika tidak mempunyai gejala, selain sebarang tindakan pencegahan pada masa hadapan patut memberi tumpuan terhadap mereka yang enggan menerima vaksin.

“Jika sebarang sekatan hendak dikenakan, tindakan patut dilakukan terhadap golongan antivaksin,” kata bekas Perdana Menteri, Matteo Renzi.

Mengikut statistik kerajaan, hampir 80 peratus penduduk Itali menerima vaksin lengkap, manakala 29 peratus menerima suntikan ketiga yang dilihat perlindungan terbaik daripada dijangkiti Omicron. – HARAKAHDAILY 28/12/21

- Advertisement -