Tuan Ibrahim dijangkiti Covid, masih ikuti operasi setiap hari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menangguhkan semua program rasmi susulan dijangkiti Covid-19.

Setiausaha Akhbarnya, Mior Isfandy Mior Azizan, berkata Tuan Ibrahim sepatutnya turun ke Pahang dan Selangor khususnya untuk membantu mangsa banjir.

Di samping itu, jelasnya menteri berkenaan juga dijadual meninjau gerak kerja menyelesaikan banjir genang, memperbaiki ban dan aset-aset Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, katanya Tuan Ibrahim sentiasa memantau usaha-usaha kementerian dalam operasi banjir setiap hari.

“Beliau sentiasa pantau dan kemas kini usaha-usaha Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam operasi banjir setiap hari,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, semalam Tuan Ibrahim mengesahkan dirinya dijangkiti Covid-19.

“Mohon doa semua. Saya, empat orang anak dan seorang cucu telah disahkan positif Covid-19.

“Kami telah menjalani kuarantin beberapa hari lalu,” ujarnya menerusi catatan di laman Facebook.

Beliau juga memaklumkan seorang cucu selamat dilahirkan kelmarin dan disahkan negatif Covid-19.

Bagaimanapun, jelasnya ibu bayi berkenaan masih ditahan di Hospital Sungai Buloh.

“Doakan,” ujarnya yang juga Timbalan Presiden PAS. – HARAKAHDAILY 27/12/2021

- Advertisement -