Penduduk sukar berurusan kenderaan rosak ditenggelami air

- Advertisement -

HULU LANGAT: Mangsa banjir di Taman Sri Nanding sukar untuk keluar menjalankan urusan kerana kenderaan mereka rosak akibat ditenggelami air.

- Advertisement -

Seorang mangsa banjir, Zahuri Umar, 52, berkata walaupun mereka mempunyai kenderaan, namun kenderaan yang ada tidak dapat digunakan.

“Penghuni di sini, kereta mereka semua sudah tengelam, jadi untuk nak bergerak, mereka tidak berani (hidupkan kenderaan) sebab bimbang enjin rosak.

“Sebab itu yang kalau tengok kereta di tepi jalan masih tersadai, bukan mereka tidak mahu alihkan, sebab kalau alihkan takut enjin rosak habis,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, semalam.

Zahuri Umar

Pada Jumaat, Jabatan Amal Malaysia (JAM) turun untuk membantu membersih kediaman Zahuri yang terkesan akibat banjir pada Sabtu.

Kata Zahuri, dia amat bersyukur dengan bantuan yang disalurkan JAM memandangkan kerja-kerja pembersihan pasca banjir amat sukar.

Menurut Zahuri, hampir seminggu dia melakukan kerja pembersihan, namun masih belum selesai sehingga sekarang.

“Sebab (perlu cuci) satu rumah, bukan setakat lantai sahaja. Habis dinding rumah sekali, kemudian hendak alihkan barang-barang ini semua lagi.

“Kalau ada 1,000 buah rumah di sini, memang 1,000 yang terkesan. Itu yang jadi macam ini, tak pernah jadi (banjir) macam ini, 30 tahun saya di sini, ini pertama kali banjir sebegini, ibarat tsunami,” katanya.

Jabatan Amal Malaysia (JAM) giat memastikan sistem perparitan di Taman Sri Nanding tidak tersumbat disebabkan lumpur

Kata Zahuri, dia cuba untuk mengosongkan rumahnya terlebih dahulu sebelum menumpukan perhatian kepada dua buah kenderaannya yang ditenggelami banjir.

Zahuri juga berpendapat pergerakan menggunakan motosikal adalah lebih mudah ketika ini untuk penduduk meronda di jalan utama dan melihat jika terdapat sebarang bantuan diedarkan di bahagian hadapan taman.

“Bantuan memang ada orang hantar. Kalau yang ada motosikal memang memudahkan, boleh petang-petang pusing-pusing, kadang tepi jalan ada orang pasang meja edar bantuan.

“Pandai-pandai sendiri lah, kalau dia kata ambil, kita tahulah itu bantuan,” katanya.

Sementara itu, kata Zahuri, dia kini berhasrat untuk membeli perabot baru berikutan kesemua barangan di dalam rumahnya rosak secara menyeluruh.

Zahuri mmengalihkan televisyen miliknya yang ditenggelami air banjir pada Sabtu

Kata Zahuri, dia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM10,000 untuk kembali melengkapkan keperluan barangan elektrik di rumahnya.

“Sekarang ini, kalau ada duit senang. Semua sudah siap di kedai, pergi sahaja ke pasar raya, beli dan bawa balik.

“Bagi saya sekarang ini point dia duit sahaja, barang semua sudah ada, pergi kedai, bagitahu saya nak ini saya nak ini, bagi alamat, nanti kedai hantar,” kata Zahuri bergurau.

Zahuri yang bekerja sebagai pemandu van sekolah di sekitar Hulu Langat tinggal bersama isteri dan dua anaknya di rumah berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/12/2021

- Advertisement -