KUANTAN: Lelaki yang didakwa hilang semasa mandi di sungai berhampiran jambatan kereta api Kuala Krau, Temerloh pada Rabu lepas, ditemukan maut hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat Ahmad Lais Hirraz Mohd Syara, 22, ditemukan kira-kira 30 meter dari lokasi dia dikatakan tenggelam.
“Mayat ditemukan terapung oleh polis yang membuat tinjauan dari jambatan yang kemudiannya memaklumkan pasukan penyelamat yang menaiki bot di situ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Lais Hirraz didakwa mandi di sungai itu bersama sepupunya.
Pada perkembangan lain, Ismail berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang didakwa hilang di Sungai Belat di sini pada 18 Dis lepas, ditangguhkan hari ini, sehingga mendapat petunjuk baharu.
Operasi SAR berkenaan melibatkan 50 pegawai dan anggota pelbagai agensi serta orang awam dengan menggunakan tujuh bot, meliputi jarak sejauh 20 kilometer (km) di sungai dan 8 km di darat, dari lokasi jambatan mangsa dipercayai terjun. – BERNAMA