Sukarelawan JAM bersih rumah sehingga larut malam

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kedah mula berkampung di Hulu Langat dalam misi kemanusiaan dan operasi membersih rumah mangsa-mangsa banjir.

Timbalan Pengarah JAM Kedah, Mohd Aziz Kassim berkata, seramai 28 anggota digerak ke beberapa kampung di Hulu Langat untuk operasi kali ini.

Kata beliau pihaknya merasa agak sukar untuk menyelesaikan operasi mencuci dalam tempoh singkat memandang kawasannya luas dan kesan banjir begitu teruk.

- Advertisement -

“Hari pertama (kelmarin) hanya tiga rumah yang kami sempat cuci. Itu pun dari pagi hingga tengah malam sebab rumah-rumah mangsa kesemuanya terjejas teruk,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Manakala semalam tiga rumah lagi dicuci, di samping membersih pejabat Dewan Pemuda PAS Hulu Langat yang turut terjejas akibat banjir.

Menurut Aziz, anggota JAM dipecahkan sebanyak tiga kumpulan untuk memudahkan operasi mencuci dijalankan yang memberi tumpuan di Kampung Seri Nanding dan Sungai Serai.

“Memang letih dan penat tetapi inilah sumbangan kami kepada masyarakat tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa, juga tidak mengharap sebarang upah,” tambah beliau.

Sebelum itu Pengarah JAM Kedah, Saiful Syazwan Shafie bersama 15 anggota termasuk Dewan Pemuda PAS Hulu Langat mengagihkan makanan dan minuman kepada kira-kira 200 penduduk sekitar Pekan Batu 14.

JAM Kedah turut memperuntukkan RM2,000 untuk membantu Markas Operasi Banjir PAS Hulu Langat bagi mengendalikan Dapur Rakyat menyediakan makanan untuk petugas dan penduduk tempatan yang terjejas.

“Setiap lokasi yang kami masuk, penduduk tempatan begitu teruja dengan kehadiran kami kerana mereka sudah lama tahu kerja-kerja amal yang dilakukan JAM,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/12/2021

- Advertisement -