Mangsa banjir rayu masalah longgokan sampah diselesaikan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

HULU LANGAT: Masalah sampah yang banyak berlonggok di tepi jalan yang dihadapi mangsa banjir di kediaman mereka di Taman Sri Nanding di sini memerlukan penyelesaian segera.

Ini kerana ia menghalang laluan bagi pihak luar atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa. 

- Advertisement -

Dalam tinjauan HarakahDaily di sini hari ini, kebanyakan sampah di situ adalah dalam saiz besar dan berat seperti perabot, tilam dan barangan elektrik yang menyukarkan penduduk untuk melupuskan barangan tersebut. 

Selain sampah berlonggok, beberapa kenderaan yang sebelum ini ditenggelami air banjir juga antara yang kelihatan tersadai di sepanjang jalan di taman perumahan tersebut. 

Penyelaras Khidmat Malaysia Hulu Langat, Zurk Ahmad berkata, lebih banyak lori diperlukan untuk membantu mengangkut sampah keluar dari kawasan itu.

Menurutnya, longgokan sampah berkenaan kini mulai berbau busuk dan dibimbangi ia boleh menjadi punca kepada penyakit lain. 

Longgokan sampah bersaiz besar di lorong (jalan) bahagian belakang Taman Sri Nanding di Hulu Langat, Selangor merisaukan penduduk di sini.

Seorang mangsa banjir, Zahuri Umar, 52, berkata, dia bagaimanapun tidak menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung masalah longgokan sampah itu kerana memahami mereka sukar untuk masuk ke kawasan kediamannya. 

Katanya, dia sendiri dapat melihat sedikit demi sedikit perubahan yang berlaku di kediaman penduduk di bahagian hadapan Taman Sri Nanding apabila longgokan sampah mula berkurangan semalam. 

“Saya lihat kawasan kediaman penduduk di bahagian hadapan Taman Sri Nanding semalam, sudah ada perubahan. Sampah sudah dibersihkan dan kereta-kereta yang tersadai juga sudah dialihkan.

“Namun, tempat di (jalan) lorong (kediaman) kami (yang terletak di bahagian belakang Taman Sri Nanding) memang tiada apa-apa perubahan apa lagi,” ujarnya. 

Menurut Zahuri lagi, disebabkan laluan untuk masuk ke kediaman penduduk di bahagian belakang Taman Sri Nanding terhalang, justeru mereka juga sukar untuk mendapatkan bantuan. 

Longgokan sampah di bahagian hadapan kediaman Zahuri Omar di Taman Sri Nanding yang dirakam pada hari ini.

Sehubungan itu, dia dan penduduk lain di kawasan itu hanya menerima bantuan yang dibawa masuk sendiri disebabkan kenderaan yang ada juga ditenggelami air banjir dan tidak boleh dihidupkan enjinnya. 

“Sebab masalah besar sekarang ini, walaupun ada kenderaan tetapi ia tak boleh dihidupkan. Sebab ada dalam kalangan penduduk di sini, semua kereta mereka sudah tenggelam.

“Jadi untuk bergerak keluar menggunakan kereta, mereka tidak berani, (bimbang) kerana enjin rosak semua. Maka disebabkan terpaksa, itu yang kita lihat kereta tepi jalan tersadai, bukan tidak mahu alih,” jelasnya.

Selain longgokan sampah, terdapat beberapa kenderaan yang tersadai di lorong bahagian belakang Taman Sri Nanding ini.

Dalam masa sama, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kedah turut membantu mangsa banjir di Taman Sri Nanding pada hari ini untuk mencuci kediaman mereka. 

Menurut Jurucakap JAM Kedah, mereka hanya dapat membantu dari aspek pembersihan rumah dan sistem perparitan di kawasan taman berkenaan. 

“Kami tiada kelengkapan dan aset untuk mengalihkan longgokan sampah berkenaan dan yakin pihak berkuasa tempatan sudah mula mengosongkan jalan (lorong di bahagian belakang Taman Sri Nanding) yang dipenuhi sampah tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/12/2021

- Advertisement -