Hulu Langat sesak, Khidmat Malaysia guna bantuan rider

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Khidmat Malaysia Hulu Langat menggunakan bantuan rider penghantar barang dan makanan untuk memudahkan kerja menghantar keperluan mangsa banjir.

Penyelaras Khidmat Malaysia Hulu Langat, Zurk Ahmad berkata, keadaan jalan yang sesak menyukarkan pergerakan masuk untuk menghantar makanan dan barang sumbangan di Hulu Langat.

- Advertisement -

Justeru katanya, Khidmat Malaysia Hulu Langat mengambil inisiatif memohon bantuan rider untuk menghantar makanan kepada mangsa banjir.

“Alhamdulillah, setiap hari seramai 100 buah motor penghantar makanan membantu menyampaikan makanan yang dimasak terus ke rumah mangsa. Mereka tak boleh keluar disebabkan kenderaan semua rosak. 

“Ramai NGO (badan bukan kerajaan) datang membantu tetapi gagal masuk ke dalam dan hanya berlegar di jalan utama. 

“Masih ada mangsa di dalam yang tidak dapat bantuan. Alhamdulillah, inisiatif yang kita ambil guna rider naik motor dapat sampaikan bantuan sampai dalam,” katanya semasa dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Khidmat Malaysia Hulu Langat mengambil inisiatif memohon bantuan rider untuk menghantar makanan kepada mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor.

Menurut Zurk lagi, masalah utama yang dihadapi mangsa banjir di Hulu Langat adalah sampah yang terlalu banyak.

Katanya, mereka memerlukan lebih banyak lori untuk membantu mengangkut sampah keluar dari Hulu Langat yang kini mula berbau busuk.

Zurk bimbang jika sampah berkenaan menjadi punca kepada penyakit lain seterusnya membahayakan penduduk dan orang ramai.

Keadaan di salah satu lorong perumahan di Hulu Langat

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui KHIDMAT MALAYSIA HULU LANGAT dan berhubung dengan Saudara Zurk sendiri di talian +6010-3594 409.

Untuk rekod, Khidmat Malaysia Hulu Langat membuka Pusat Operasi Banjir sejak awal pagi Ahad, dan sehingga hari ini dapur rakyat menyediakan lebih 15,000 pek makanan siap masak kepada mangsa banjir.

Selain itu, pusat pengumpulan sumbangan pula dibuka di tiga zon, iaitu Zon 1 (Induk), di Pasti As-Syakirin Cheras Utara, Taman Megah untuk pengumpulan barangan dan dapur rakyat. 

Sementara Zon 2 di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al Mutadayyin, Batu 14 untuk aktiviti dapur rakyat dan penginapan petugas. 

Seterusnya, Zon 3 di Kompleks Tarbiyah (KOMTA) Darul Hidayah sebagai pusat agihan kepada mangsa banjir. – HARAKAHDAILY 23/12/2021

- Advertisement -