SpaceX catat 132 kes Covid-19

Ibu pejabat SpaceX di Hawthorne, California, Amerika Syarikat dirakam pada 19 September, 2018. (FOTO REUTERS)
- Advertisement -

SAN FRANCISCO: Syarikat roket SpaceX milik individu terkaya di dunia, Elon Musk telah melaporkan 132 kes Covid-19 di ibu pejabatnya di Hawthorne, California, Amerika Syarikat yang mencatat satu perempat daripada jumlah keseluruhan kes di lokasi bukan kediaman di Los Angeles County, menurut data daerah negeri tersebut.

Dalam e-mel kepada pekerja pada hari Isnin (20 Dis) waktu tempatan, SpaceX berkata, 132 kes telah dilaporkan sejak Sept 2021, apabila ‘beberapa pekerja yang bekerja di kawasan yang sama dijangkiti Covid-19 di luar waktu kerja pada acara yang tidak berkaitan dengan pekerjaan mereka’, lapor Reuters.

- Advertisement -

“Ini tidak bermakna 132 pekerja di Hawthorne yang menghidap Covid-19 itu dijangkiti di tempat kerja,” ujar kandungan e-mel SpaceX berkenaan, merujuk kepada bandar di kawasan Los Angeles yang menempatkan ibu pejabat SpaceX.

Terdahulu, Los Angeles County mengesahkan sebanyak 496 kes jangkitan Covid-19 di lokasi bukan kediaman seperti tempat kerja, kedai makanan dan runcit, selain tempat ibadat, tanpa mengulas jangkamasa bagi kes tersebut. 

SpaceX mencatatkan jumlah kes tertinggi di daerah itu, diikuti oleh pejabat FedEx Corp Los Angeles dengan 85 kes.

Kes jangkitan terbaharu di SpaecX  itu merupakan kali kedua sejumlah besar kes Covid-19 dilaporkan di syarikat yang diketuai Musk. 

Sebelum ini, syarikat pengeluar kereta elektrik Tesla Inc. milik Musk, melaporkan 440 kes Covid-19 di kilangnya di Fremont, California Utara dari Mei hingga Disember 2020, menurut data Alameda County yang diperoleh oleh tapak maklumat undang-undang Plainsite.

Pada Mei 2020, Musk menyaman Alameda County ketika beliau membuka semula kilang Tesla Inc. di Fremont berkenaan, mengingkari langkah penutupan bagi mengekang penyebaran Covid-19. – HARAKAHDAILY 22/12/21

- Advertisement -