Pembunuhan Khashoggi: Perisian pengintip Israel terbabit

- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

DUBAI: Sebuah agensi kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) didakwa telah meletakkan perisian pengintip yang dibangunkan oleh firma Israel, NSO Group pada telefon beberapa individu yang rapat dengan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, beberapa bulan sebelum beliau mati dibunuh.

Menurut laporan akhbar The Washington Post pada Selasa (21 Dis), telefon Hanan Elatr diletakkan perisian pengintip Pegasus semasa wanita warga Mesir itu berada dalam tahanan kerajaan UAE pada 22 April 2018.

- Advertisement -

“Pada 22 April 2018, Hanan Elatr ditahan sebaik tiba di lapangan terbang di Dubai, dan dia telah menyerahkan dua telefon bimbit Android, komputer riba dan kata laluannya sebelum disoal siasat semalaman,” lapor akhbar tersebut.

Elatr, 53, yang merupakan bekas pramugari Emirates Airlines dan Khashoggi, 59, telah berkahwin dalam satu majlis perkahwinan rahsia di Iskandariah, Mesir sekitar Jun 2018.

Sebelum mengahwini Elatr, Khashoggi telah berkahwin dan bercerai sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali. Melalui perkahwinan dengan Rawia al-Tunisi, beliau mempunyai empat orang anak. Selain itu, beliau juga pernah berkahwin dengan Dr Alaa Nassif.

Khashoggi mengahwini Hanan di Iskandariah, Mesir sekitar Jun 2018.

Dalam pada itu, The Washington Post telah menjalankan analisisnya dengan bantuan pakar keselamatan siber di Citizen Lab, Universiti Toronto, Kanada, Bill MarcZack yang telah menyiasat penggunaan Pegasus dan perisian pengintip lain dalam kajian selama beberapa tahun.

“Kami menemui ‘bukti perisian’ (yang dibangunkan NSO Group) pada telefon Hanan,” ujar Marczak, yang memeriksa dua buah telefon Android Elatr, lapor akhbar berkenaan.

Laporan berita akhbar itu telah disampaikan kepada Elatr oleh MarcZack dan wartawan The Washington Post, Dana Priest semasa mesyuarat awal bulan ini yang dirakamkan oleh FRONTLINE dan Forbidden Stories sebagai sebahagian daripada penghasilan sebuah filem dokumentari mengenai tragedi pembunuhan Khashoggi yang bakal diterbitkan.

Bill MarcZack bertanggungjawab melakukan siasatan terhadap penggunaan Pegasus dan perisian pengintip lain dalam kajian di makmalnya, di Universiti Toronto, Kanada yang dilakukan dalam tempoh beberapa tahun.

Khashoggi, kolumnis The Washington Post, selain juga merupakan bekas pengurus besar dan ketua pengarang Al-Arab News Channel yang terkenal dengan kelantangannya mengkritik Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman, telah mati dibunuh oleh skuad serangan Saudi di konsulat Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Okt 2018.

Sehubungan itu, pendedahan yang dibuat oleh The Washington Post adalah contoh terbaharu perisian pengintip Pegasus ciptaan NSO Group yang digunakan oleh kerajaan di seluruh dunia untuk menggodam telefon golongan wartawan terkemuka, aktivis hak asasi manusia dan pihak pengkritik lain, lapor pula Al-Jazeera.

Firma konglemerat Israel itu mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi manusia pada awal tahun ini, selepas siasatan oleh media antarabangsa mendedahkan bahawa Pegasus telah digunakan oleh pasukan keselamatan dan kerajaan di lebih 100 buah negara di seluruh dunia bagi tujuan mengintip rahsia individu-individu tertentu yang menetap dalam negara-negara berkenaan.

NSO Group bagaimanapun telah menafikan sebarang salah laku, menegaskan bahawa produknya bertujuan membantu agensi penguatkuasa undang-undang menjejaki golongan penjenayah dan ‘pengganas’.

Perisian pengintip yang dibangunkan firma konglemerat Israel, NSO Group didakwa telah digunakan oleh pasukan keselamatan dan kerajaan di lebih 100 buah negara di seluruh dunia bagi tujuan mengintip rahsia individu-individu tertentu di negara-negara berkenaan.

Kerajaan beberapa buah negara yang dituduh menggunakan perisian pengintip, termasuk Arab Saudi dan UAE, juga telah menolak dakwaan melakukan salah laku tersebut.

Bagaimanapun, NSO Group telah menghadapi tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah menyenaraihitamkan syarikat Israel itu pada Nov 2021 kerana perisian pengintipnya itu diklasifikasikan sebagai ‘membolehkan kerajaan asing melakukan penindasan transnasional’ terhadap sesebuah negara lain.

Aplikasi pemesejan WhatsApp dan Apple Inc. juga sebelum ini telah bertindak menyaman NSO Group di mahkamah AS, menuduh syarikat itu menggunakan perisian pengintipnya untuk menggodam pelanggan mereka. 

Dalam aduan undang-undang yang difailkan di mahkamah persekutuan AS pada Nov 2021 lalu, Apple menggelarkan NSO Group sebagai ‘askar upahan abad ke-21 yang tidak bermoral’, yang telah menggunakan teknologi pengawasan siber untuk membolehkan pelanggaran hak asasi manusia.

Khashoggi telah bertunang dengan saintis Turki, Hatice Cengiz sejurus beliau mati dibunuh pada 2 Okt 2018.

Sementara dalam laporannya pada hari Selasa (21 Dis) itu juga, The Washington Post berkata, seorang peguam syarikat terbabit memberitahu akhbar berkenaan pada awal tahun ini bahawa ‘NSO Group telah menjalankan semakan yang menentukan bahawa Pegasus tidak digunakan untuk mendengar, memantau, menjejaki atau mengumpul maklumat tentang Hanan Elatr’.

Dalam pada itu, walaupun Khashoggi telah mengahwini Elatr, beliau sebenarnya telah bertunang dengan saintis Turki, Hatice Cengiz.

Pada hari pembunuhan Khashoggi, Cengiz menunggu di luar konsulat Saudi di Turki berkenaan dan membuat laporan kepada pihak berkuasa Turki apabila Khashoggi tidak keluar dari bangunan pejabat berkenaan.

Beberapa hari selepas pembunuhan itu, iPhone Gengiz, 39, telah digodam oleh pengguna Pegasus, menurut analisis yang dilaksanakan Makmal Keselamatan Amnesty International.

Analisis itu tidak dapat menentukan apa yang diambil dari telefon Gengiz atau sama ada sebarang pengawasan audio berlaku, lapor The Washington Post.

Wadah Khanfar, rakan baik Khashoggi turut menjadi mangsa pengintipan perisian pengintip canggih ciptaan firma Israel.

Sementara laporan BBC pula menyebut bahawa seorang rakan rapat Khashoggi, Wadah Khanfar yang merupakan bekas Ketua Pengarah Al-Jazeera berpangkalan di Qatar, turut menjadi mangsa pengintipan Pegasus.

Namun, NSO Group telah menafikan teknologi ciptaannya itu telah digunakan untuk mengintip beberapa individu yang rapat dengan Khashoggi tersebut.

Terdahulu, pembunuhan Khashoggi telah mencetuskan gelombang kejutan di seluruh dunia dan mendorong tuntutan daripada penyokong hak asasi manusia, organisasi kebebasan akhbar, pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penggubal undang-undang supaya pelakunya bertanggungjawab.

Agensi perisikan AS membuat kesimpulan dalam laporan tidak rahsia yang dikeluarkan tahun ini bahawa Khashoggi telah dibunuh oleh skuad penyerang Saudi yang beroperasi di bawah perintah Putera Mohammed, juga dikenali sebagai MBS.

Pegawai Saudi bagaimanapun menafikan MBS mempunyai sebarang peranan dalam pembunuhan Khashoggi dan menolak serta melabelkan laporan perisikan AS sebagai mengandungi ‘penilaian negatif, palsu dan tidak boleh diterima’ dan ‘maklumat dan kesimpulan yang tidak tepat’.

Putera Mohammed mengambil tanggungjawab atas tragedi pembunuhan Khashoggi tetapi menafikan penglibatannya sebagai individu yang mengarah supaya Khashoggi dibunuh.

Pada 31 Okt 2018, ketua pendakwa raya Istanbul mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa Khashoggi telah dicekik sebaik beliau memasuki bangunan konsultan Saudi di Turki sebelum badannya dipecahkan dan dilupuskan.

Kerajaan Saudi, yang pada mulanya berkata ia tidak mempunyai maklumat mengenai pembunuhan Khashoggi, kemudian mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi berkata ia adalah operasi ‘penyangak’ (rogue operation), diklasifikasikan sebagai ‘tindakan seseorang atau sesebuah organisasi tanpa pengetahuan atau kebenaran pihak atasannya’ yang tidak melibatkan Putera Mohammed.

Pada 15 Nov 2018, pejabat pendakwa Saudi mengumumkan sebelas orang warga negara berkenaan telah didakwa atas tuduhan membunuh Khashoggi dan lima daripada mereka berhadapan dengan menghadapi hukuman mati, kerana penglibatan mereka secara langsung dalam ‘memerintahkan dan melaksanakan jenayah’ bunuh terhadap Khashoggi.

Putera Mohammed yang pada 2019 digosip menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon terkenal dan kontroversi Hollywood, Lindsay Lohan menafikan bahawa beliau adalah dalang yang mengarahkan Khashoggi dibunuh tetapi mengatakan bahawa dia sanggup memikul tanggungjawab atas tragedi berkenaan.

Pada 23 Disember 2019, lima tertuduh berkenaan telah dijatuhi hukuman mati atas pembunuhan Khashoggi oleh mahkamah Saudi. Tiga lagi menerima hukuman penjara, manakala tiga yang lain dibebaskan. – HARAKAHDAILY 22/12/2021