Khidmat Malaysia Kedah berkampung di Shah Alam

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Delegasi pertama PAS Kedah melalui Khidmat Malaysia mula berkampung di Shah Alam hari ini diketuai Adun Sungai Limau Mohd Azam Abdul Samat.

Beliau berkata, 18 sukarelawan bertolak dari Kompleks PAS Kedah malam tadi dan menerima taklimat di Markas Operasi Banjir, PAS Shah Alam.

“Petugas Kedah akan ditempatkan di Shah Alam untuk operasi kemanusiaan mangsa banjir di negeri ini,” jelas beliau ketika dihubungi.

- Advertisement -

Ujarnya antara lokasi yang menjadi tanggungjawab delegasi Khidmat Malaysia PAS Kedah iaitu di Kampung Padang Jawa yang dimaklumkan kebanyakan penghuninya dalam kalangan B40.

“Selain membantu untuk peringkat awal kali ini, kita juga akan membuat pemantauan mengenal pasti keperluan lain yang diperlukan penduduk tempatan,” katanya.

Mohd Azam juga berkata, pihaknya membawa sumbangan berupa pek makanan, kit ibadah dan kebersihan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Selain itu, delegasi Kedah juga membawa barangan makanan mentah untuk dapur rakyat yang beroperasi di markas operasi terbabit.

“InsyaAllah kita akan berada di Shah Alam selama tiga hari sehingga Jumaat ini dan pada minggu hadapan akan lebih ramai sukarelawan akan datang,” kata beliau.

Sumbangan terbabit diserahkan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato’ Ahmad Yahaya yang kebetulan berada di Shah Alam kerana mengikuti sidang Dewan Negara di Kuala Lumpur.

Sementara delegasi awal bantuan kemanusiaan Dewan Muslimat PAS Kedah ke Selangor bertolak hari ini.

Ketuanya, Dato’ Siti Ashah Ghazali berkata, pihaknya membawa barangan berupa kain selimut, kain pelikat, kain batik, lampin pakai buang untuk bayi, telekung, tuala dan air minuman untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

“Kita juga membawa wang tunai sebanyak RM10,000 untuk diserahkan kepada Markas Operasi Banjir, PAS Shah Alam.” kata beliau.

Delegasi Dewan Muslimat seramai lapan orang itu juga akan ke Pahang untuk meninjau keperluan sumbangan yang perlu untuk membantu mangsa musibah di negeri itu. – HARAKAHDAILY 22/12/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!