Jika ikhlas, Allah bantu tegakkan keadilan

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 24)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

MENEGAKKAN keadilan adalah perintah Allah. Allah berikan pahala di akhirat. Balasan di dunia pula dengan disebut baik oleh manusia. Justeru, sangat penting membetulkan niat dalam menegakkan keadilan.

Dalam perenggan terakhir surat Umar al-Khattab kepada Abu Musa al-Asy’ari, ditulis:

فإن القضاء في مَواطِن الحقِّ يُوجب اللهُ به الأجر، ويحسن به الذُّخر، فمَن خلصت نيَّتُه في الحقِّ ولو على نفسه، كفاه اللهُ ما بينه وبين الناس، ومَن تزيَّن لهم بما ليس في قلبه شانه اللهُ تعالى؛ فإن الله تبارك وتعالى لا يقبل من العباد إلا ما كان له خالصًا، وما ظنُّك بثوابِ الله في عاجل رِزْقه وخزائنِ رحمته

“Sesungguhnya menjatuhkan hukuman di tempat yang sebenar boleh mendapat pahala daripada Allah. Ia menjadi simpanan (pahala) akhirat. Sesiapa yang berniat ikhlas mencari kebenaran, sekalipun terhadap dirinya sendiri, nescaya Allah mencukupkan di antara dirinya dan di antara manusia. Sesiapa yang menghiaskan dirinya dengan sifat yang tiada dalam hatinya, Allah akan menghinakannya. Allah Tabaraka was Taala tidak menerima daripada seorang hamba melainkan yang ikhlas daripadanya. Bagaimana sangkaanmu dengan pahala daripada Allah yang disegerakan dan dari gedung rahmat-Nya.”

- Advertisement -

Ia menjelaskan beberapa perkara:

1) Menjatuhkan hukuman atau menyelesaikan sesuatu perkara mesti dilaksanakan. Bagi yang berjawatan, itu tugasan dan skop bidang kerjanya.

2) Menjatuhkan hukuman dan menyelesaikan isu yang menjadi pertelingkahan mesti dengan cara yang sebenar, bukan menipu atau mengelat.

3) Bukan setakat menjalankan tugas dalam pekerjaannya, dia akan mendapat pahala daripada Allah, sesuatu yang kekal bermanfaat selepas mati, lebih dari gaji yang diperolehi.

4) Mereka yang ikhlas akan dipelihara oleh Allah dalam urusannya dengan orang lain. Mungkin dipermudahkan, dijauhkan dari perkara mudarat, selamat dari malapetaka dan lain-lain.

5) Mereka yang berpura-pura dengan satu sifat baik, dengan kata lain, hipokrit sedangkan dia tidak bersifat demikian, Allah akan menghinakannya. Dia sebenarnya menipu diri sendiri dan membodohkan diri sendiri.

6) Umar sekali lagi mengingatkan tentang aspek niat yang ikhlas, kerana ia menjadi kunci mendapat balasan baik daripada Allah sebagai simpanan akhirat untuknya juga nanti.

Alangkah bagusnya jika mereka yang menjadi hakim, majistret, kaunselor, pegawai sulh, ahli politik dan lain-lain yang terlibat menjadi orang tengah antara pihak-pihak yang bertelingkah bersifat ikhlas, kerana dia akan dibantu oleh Allah, dan mendapat pelbagai manfaat akhirat dan dunia. – HARAKAHDAILY 22/12/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.