Harta pusaka tidak dituntut masalah besar

Senator Dato' Husain Awang
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Masalah harta pusaka di negara ini bukan lagi perkara kecil kerana nilai harta pusaka tidak dituntut dianggarkan kira-kira RM10 bilion setahun.

Senator Dato’ Husain Awang berkata, masalah harta pusaka tidak dituntut sudah membarah dan mungkin akan menjadi lebih parah jika tiada sebarang tindakan dilakukan, sama ada oleh kerajaan dan juga waris.

- Advertisement -

Katanya, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) sudah melakukan beberapa usaha seperti program lapangan dan promosi di media arus perdana untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan urusan harta pusaka.

“Adakah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berasakan bahawa usaha tersebut sudah mencukupi untuk memberi kesedaran sebaiknya kepada masyarakat, terutama kepada generasi muda.

“Apakah pula perancangan jangka masa sederhana dan panjang untuk terus mendidik masyarakat mengenai perkara ini,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 di Dewan Negara, hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, bagi tempoh 2007 hingga 2020, sebanyak RM580 bilion harta pusaka berjaya diselesaikan yang bersamaan RM34 bilion setahun dan meminta penjelasan mengenai jumlah sebenar keseluruhan harta pusaka yang dibekukan.

Sementara itu, katanya ketika ini terdapat Unit Pengurusan Pusaka Kecil yang perlu menjaga dua atau tiga daerah, selain menerima 60,000 permohonan baharu setahun.

“Itu tidak termasuk tunggakan kes lama, apatah lagi hanya 68 orang pegawai unit itu yang ditugaskan di seluruh Semenanjung Malaysia. Malah antara maklumat yang saya terima, unit itu hanya menumpang di Pejabat Tanah dan Daerah di bawah pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, situasi itu sangat kritikal kerana menyebabkan kes pengurusan kes pusaka akan mengambil masa sehingga bertahun-tahun untuk diselesaikan

“Saya memohon menteri memberi penjelasan atau maklum balas, adakah kementerian merancang menambah jawatan pegawai secara besar-besaran dalam usaha menyelesaikan timbunan kes yang banyak dalam tempoh terdekat.

“Begitu juga perancangan untuk menambah Unit Pengurusan Pusaka Kecil di setiap daerah dan mempunyai kemudahan sendiri bagi memastikan segala gerak kerja berjalan lancar,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/12/21