Susunan YUSMAN AWANG
SHANGHAI: Pihak berkuasa China telah menggesa selebriti dan influencer penstriman secara langsung membayar cukai pendapatan masing-masing sebelum menjelang tahun baharu 2022, hanya beberapa hari selepas ‘selebriti penstriman secara langsung tersohor negara itu, Viya didenda 1.34 bilion yuan (RM885 juta) kerana mengelak daripada membayar cukai pendapatannya.
Viya atau nama sebenarnya, Huang Wei yang aktif sebagai selebriti penstriman langsung e-dagang itu, didenda pada hari Isnin (20 Dis) lalu oleh biro cukai di Hangzhou, sebuah bandar di selatan China, kerana menyembunyikan jumlah pendapatan peribadinya dan kesalahan lain pada 2019 dan 2020.
Mengumpul jumlah pendapatan keseluruhan berjumlah RM5.27 bilion, Viya, 36, sebenarnya telah mencapai status bilionair.
Pada hari Rabu (21 Dis), pegawai cukai dari bandar dan wilayah yang paling maju dari segi ekonomi China itu menyiarkan notis yang sama di tapak web mereka yang memerintahkan selebriti dan influencer penstriman langsung untuk melakukan semakan sendiri bagi sebarang salah laku berkaitan cukai, membetulkan isu berkenaan dan melaporkan kepada pihak berkuasa tentang jumlah cukai pendapatan yang berkaitan.
“Sebelum penghujung 2021, sila betulkan isu berkaitan cukai dan laporkannya secara proaktif kepada biro cukai, (yang) akan meringankan, mengurangkan atau mengecualikan penalti cukai mengikut keperluan notis itu.
“Jika pemeriksaan kendiri dan pembetulan diri masih ditolak atau tidak teliti, biro cukai akan menanganinya secara serius mengikut undang-undang dan peraturan,” kata notis berkenaan, menurut laporan Reuters.
Selebriti dan influencer penstriman langsung adalah golongan terbaharu di China yang dibelenggu dengan tindakan keras kerajaan negara itu yang pada mulanya menyasarkan golongan yang memonopoli bisnes teknologi.
Namun, kerajaan China kemudian turut menyasarkan bidang pendidikan swasta, platform media sosial dan industri lain yang dianggap oleh Beijing sebagai penghalang kepada matlamat terbaharunya untuk mengurangkan ketidaksamaan ekonomi dan mencapai ‘kemakmuran bersama’ dalam kalangan rakyatnya.
Sebelum tindakan keras itu, pengelakan cukai telah pun menenggelamkan kerjaya beberapa tokoh terkenal dalam industri hiburan. Bagaimanapun, notis hari Rabu (21 Dis) telah menyerlahkan sifat meluas dan sistematik tindakan keras ‘kemakmuran bersama’ itu.
Terdahulu, Presiden Xi Jinping telah menyeru rakyat China untuk mencapai ‘kemakmuran bersama’, agar berusaha untuk mengecilkan jurang kekayaan yang mengancam pendakian ekonomi negara dan kesahihan pemerintahan Parti Komunis di negara itu.
Pihak berkuasa cukai China sehubungan itu telah mengeluarkan amaran berkenaan termasuk bagi penduduk di Beijing, Shanghai, Guangdong, Zhejiang dan Jiangsu. Secara kolektif, bandar dan wilayah ini membentuk lebih separuh daripada keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara itu dan menjadi tuan rumah kepada sebahagian besar selebriti dan influencer penstriman langsung yang berpendapatan tinggi di negara itu.
Pada Sept 2021 lalu, Pentadbiran Percukaian Negeri kerajaan pusat China telah mengeluarkan notis mengumumkan langkah untuk mengukuhkan pentadbiran cukai dalam sektor hiburan, termasuk siaran langsung.
Janji yang sama untuk hukuman ringan dan pengecualian bagi mereka yang melaporkan dan membetulkan salah laku berkaitan cukai juga dibuat dalam notis Sept tersebut. Menurut media kerajaan China, sejak notis berkenaan, lebih 1,000 individu telah mengambil inisiatif untuk membayar tunggakan cukai. – HARAKAHDAILY 22/12/2022