Banjir: Khidmat Malaysia bekerjasama dengan agensi kerajaan

- Advertisement -

PUSAT Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) adalah merupakan satu badan yang telah bergerak sejak tahun 2014 bagi membantu menangani bencana khususnya bencana banjir yang berlaku di dalam negara.

Kewujudan Khidmat Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysia Emergency & Disaster Management (MEDM) telah berpengalaman membantu menangani bencana banjir di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kedah dan beberapa buah negeri yang lain.

Khidmat Malaysia turut membantu dalam menangani bencana lain seperti bencana tanah runtuh dan bencana alam. Antara kejayaan Khidmat Malaysia adalah peranannya dalam membantu kerajaan dalam menangani bencana pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor pada tahun 2019.

Peranan Khidmat Malaysia bukan sahaja membantu menguruskan mangsa malah telah memainkan peranan penting dalam menyediakan Pusat Saringan di Stadium Tertutup Pasir Gudang yang terpaksa dipindahkan daripada Dewan Komuniti Taman Pasir Putih.

- Advertisement -

Khidmat Malaysia sejak ditubuhkan, tidak pernah mendiskriminasikan mana-mana pihak dalam usaha membantu mangsa bencana, bersesuaian dengan mottonya ‘Berkhidmat Kerana Kemanusiaan, Beramal Kerana Allah’. Ini penting untuk difahami dan dihayati oleh semua pimpanan dan sukarelawan Khidmat Malaysia supaya setiap perbuatan dan kerja ini diikhlaskan kerana Allah semata-mata.

Bencana banjir yang sedang menimpa negara pada ketika ini adalah merupakan cabaran baharu untuk Khidmat Malaysia kerana ia melibatkan sebuah negeri yang padat penduduknya iaitu negeri Selangor.

Dalam keadaan tidak ramai menjangkakan akan berlaku bencana besar di Lembah Klang ini, namun ianya hadir dalam persediaan yang sederhana dari semua pihak, tidak seperti persediaan menghadapi bencana banjir di negeri-negeri di Pantai Timur.

Memahami kekangan tenaga dan jentera di pihak kerajaan maka Khidmat Malaysia telah menggerakkan seluruh jenteranya untuk membantu kerajaan dan mangsa bencana banjir di lapangan.

Kerjasama dengan pihak kerajaan telah dibina dan operasi yang dilaksanakan oleh Khidmat Malaysia berpandukan kepada garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Jabatan Perdana Menteri (NADMA).

Khidmat Malaysia juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerajaan yang lain seperti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan telah mendapat kerjasama yang sangat baik daripada mereka.

Semalam, Khidmat Malaysia telah diberi kebenaran untuk menjadi Rakan Koordinasi Strategik bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyelaraskan sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh Malaysia.

Ini memberikan satu ruang yang lebih luas kepada Khidmat Malaysia untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah badan NGO terhadap masyarakat khususnya ketika bencana banjir melanda.

Justeru saya mengharapkan agar seluruh penggerak Khidmat Malaysia dapat menggunakan peluang dan ruang ini untuk bekerjsama dengan agensi kerajaan bagi membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan dan kepayahan ketika ini.

YB DATO’ HAJAH SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Pengerusi Khidmat Malaysia
Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 22/12/2021

- Advertisement -