Oleh SYAHIRAH SALLEH | Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE
BANTING: Peralatan untuk kerja pembersihan antara kelengkapan dan keperluan yang mendapat permintaan tinggi ketika ini.
Mangsa banjir di Kampung Labohan Dagang, Sairan Kaspin, 59, berkata, sumbangan sedemikian adalah sangat dialu-alukan untuk memudahkan mereka melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.
“Setakat ini, jika boleh request jenis dan bentuk sumbangan, saya nampak sumbangan berbentuk pembersihan rumah.
“Itu yang penting, macam peralatan untuk pembersihan rumah, kalau ada sumbangan kewangan pun, kewangan itu akan saya gunakan untuk menampung kos untuk membersihkan rumah saya,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.
Menurut Sairan, penduduk kampung banyak menerima sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak masjid.
Katanya, dia amat berterima kasih kerana hari ini mereka mendapat pula sumbangan makanan tengah hari daripada Yayasan Amal Malaysia (YAM).
Jelas Sairan lagi, sebarang bentuk keperluan yang diperlukan, penduduk akan menuju ke Pusat Pemindahan Sementera (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Labohan Dagang, di sini.
Ditanya mengenai kos kerugian keseluruhan, kata Sairan, dia tidak dapat menyebut angka kerugian buat masa ini memandangkan dia belum dapat mengenal pasti kerosakan yang berlaku akibat banjir di sini.
Katanya, dia hanya dapat menjangkakan sebuah jumlah yang amat tinggi untuk ganti rugi akibat bencana itu.
“Banjir yang berlaku semalam, sampai 1.5 meter, ada jiran saya yang sehingga paras banjir melebih dua meter.
“Kali terakhir banjir di sini adalah semasa tahun 70-an, sudah 50 tahun lalu tidak banjir di sini, jika ada banjir pun, kecil sahaja sebelum ini, boleh surut dalam masa satu hingga ke dua hari, ini memang banjir besar lah,” katanya.
Tambahnya, perumahan berdekatan sungai tentunya lebih teruk ditenggelami banjir.
Menurut Sairan lagi, antara punca banjir yang dikenal pasti penduduk kampung adalah disebabkan sungai tidak dapat menampung air yang terlalu banyak sehingga melimpah.
Sairan mendiami rumah bersama enam ahli keluarga yang lain berpindah keluar dari kediaman mereka pada hari kejadian.
Katanya, dia sentiasa memeriksa keadaan rumahnya untuk memastikan ia benar-benar selamat untuk kembali didiami dari semasa ke semasa dan untuk memulakan kerja-kerja pembersihan.
Dalam tinjauan Harakahdaily hari ini, kelihatan terdapat mangsa banjir yang tidur di bawah jambatan dan berkhemah di tepi jalan.
Difahamkan, terdapat juga mangsa yang tidur di dalam kereta dan mendirikan khemah di dalam ladang kelapa sawit.
Menurut Timbalan Yang diPertua PAS Sepang, Sabirin Marsono, kebanyakan mereka berbuat demikian kerana takut untuk berpindah ke PPS berikutan penularan kes Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS.
Mangsa banjir, Jasni Waijan, 67, berkata, dia berani untuk tidak menumpang di PPS memandangkan dia mempunyai rakan yang prihatin dan mengambil berat tentang keadaannya.
Katanya lagi, walaupun rumahnya dinaiki air, tetapi rumah anaknya yang bersebelahan, tidak dinaiki air seperti kediamannya.
Justeru itu, dia hanya menumpang berteduh di rumah anaknya yang lebih tinggi.
“Kami semua enam orang, ini anaknya ada lima orang, semua pindah rumah ke anak, keluar pergi sana.
“Hanya barang yang ditinggalkan, tidak sempat untuk diselamatkan. Tadi saya masuk tengok dalam rumah saya, almari semua sudah tertanggal sudah pintunya,” katanya.
Menurut Jasni, dia juga berharap supaya sebarang bantuan dapat disalurkan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS.
Katanya, jika ada yang menghulur bantuan dari rumah ke rumah, mereka menerima dengan hati yang terbuka memandangkan jalan keluar untuk ke PPS dihalangi dengan air dan hanya boleh diredah menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Dalam tinjauan sama, kelihatan banyak kenderaan milik mangsa banjir masih tersadai di tepi jalan dan di parkir di tempat yang lebih tinggi seperti atas jejambat untuk selamatkan kenderaan mereka. – HARAKAHDAILY 21/12/2021