Ops Cuci: Anggota Jabatan Amal Kedah tumpu Hulu Langat

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Jabatan Amal Malaysia Negeri Kedah akan memulakan operasi mencuci (Ops Cuci) kesan daripada banjir di Selangor, esok.

Pengarahnya, Saiful Syawan Shafie berkata, setakat ini 30 tenaga Jabatan Amal dari Kedah telah digerakkan untuk menjayakan misi berkenaan.

- Advertisement -

Menurut beliau, operasi mencuci tersebut akan tertumpu di sekitar pekan dan kampung di Hulu Langat.

“30 anggota Jabatan Amal Kedah sekarang sudah dalam perjalanan ke Selangor untuk memulakan misi ops cuci bermula esok,” jelas beliau.

Syazwan yang dihubungi Harakahdaily turut memaklumkan beliau dan 15 tenaga Jabatan Amal Kedah bersama Dewan Pemuda PAS Hulu Langat telah mengedar serta mengagihkan air minuman dan makanan sekitar Pekan Batu 14.

Katanya, sebanyak RM2,000 disumbangkan oleh Jabatan Amal Kedah untuk menyediakan air minuman (botol) dan dapur rakyat yang dikendalikan oleh Bilik Operasi Banjir, PAS Hulu Langat.

“Alhamdulillah, semalam, kita telah edarkan air minuman dan makanan kepada 200 mangsa banjir sekitar Pekan Batu 14.

“Untuk permulaan kita sediakan RM2,000 untuk beli air minuman dan sumbangan penyediaan makanan untuk dapur rakyat yang diurus oleh Bilik Operasi Banjir, PAS Hulu Langat,” tambah beliau.

Saiful mengharapkan agar lebih ramai anggota Jabatan Amal khususnya dari Kedah dapat turun beramai-ramai membantu mangsa banjir di Selangor. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -