MBOT perkasakan profesionalisme teknologis dan juruteknik

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) meluluskan sebanyak 21,792 program pembangunan profesionalisme berterusan sebagai antara usaha menaik taraf dan meningkatkan profesionalisme teknologis dan juruteknik di negara ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata sebanyak 751 program teknologi dan teknologi kejuruteraan yang ditawarkan oleh penyedia pendidikan juga telah diakreditasi untuk menjamin kualiti program berkenaan.

- Advertisement -

Menurutnya, penubuhan MBOT mengikut Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768) untuk pendaftaran serta pengiktirafan Teknologis Profesional (TS) dan Juruteknik Bertauliah (TC) dalam memberikan perkhidmatan teknologi dan teknikal.

Katanya, ini meliputi perkhidmatan teknologi berkaitan pembangunan, pembuatan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan produk.

“MBOT mengiktiraf peranan teknologis dan juruteknik mengikut 24 bidang teknologi. Setiap bidang berkenaan mempunyai Panel Pakar Teknologis (TEP) yang terdiri daripada wakil kementerian, industri, akademik dan lain-lain yang berperanan untuk menasihati MBOT berkenaan kemajuan teknologi, pembangunan bakat dan keperluan industri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab isu yang dibangkitkan oleh Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 bagi kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.

Ketika perbahasan sebelum ini, Khairil Nizam yang juga Ketua Penerangan PAS membangkitkan aspek pemerkasaan dan penguatkuasaan Akta 768 bagi memelihara dan meningkatkan profesionalisme jurutera, termasuk teknologis dan juruteknik.

Ahmad Amzad berkata sehingga kini, sebanyak 74 kerjasama strategik dalam meningkatkan pendaftaran, pembangunan profesional yang berterusan dan ketetapan amalan telah dilaksanakan, selain MBOT bekerjasama dengan badan profesional antarabangsa.

Menurutnya, MBOT sedang membangunkan ketetapan amalan bagi bidang teknologi yang berkaitan bersama rakan strategik demi memastikan kerjaya teknologis dan juruteknik terpelihara serta mengikut kod etika profesional yang ditetapkan.

Katanya, inisiatif ini akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan teknologis dan Juruteknik dalam memberikan perkhidmatan. – HARAKAHDAILY 21/12/21

- Advertisement -