MAFI perkukuhkan sekuriti makanan negara

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berusaha memperkukuh sekuriti makanan negara supaya lebih berdaya tahan dan mampan dengan membangunkan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

Timbalan Menterinya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata pelan tindakan itu menggariskan strategi untuk merancakkan pengeluaran makanan secara domestik, selain mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan.

- Advertisement -

Katanya, antaranya strategi berkenaan ialah memperluaskan adaptasi teknologi dalam sistem makanan sebagai langkah pragmatik untuk meningkatkan produktiviti sistem ini yang berteraskan skala ekonomikal dan pertanian mampan.

“Tumpuan juga untuk memperkasa penyelidikan dan pembangunan berteraskan sekuriti makanan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan dan input pertanian seperti makanan ternakan, baka dan benih berkualiti secara domestik.

“MAFI juga memperkasa ketersediaan data sekuriti makanan bagi mengenal pasti dan memantau tahap sekuriti makanan penduduk Malaysia berdasarkan lokaliti,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dr Ahmad Azam Hamzah di Dewan Negara, hari ini.

Dr Nik Muhammad Zawawi berkata, strategi juga dibuat untuk menterjemah aspirasi `Sekuriti Makanan Sebagai Tanggungjawab Bersama’ dengan memfokuskan usaha untuk memperluas kolaborasi strategik berteraskan sekuriti makanan antara kementerian, kerajaan negeri dan sektor swasta.

Katanya, strategi juga memperkukuh tadbir urus merentas jabatan dan agensi untuk merapatkan jurang dalam sistem makanan bagi meningkatkan kecekapan pemantauan sekuriti makanan negara.

Sementara itu, katanya menerusi platform Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC), beberapa langkah strategik telah dikenal pasti untuk meningkatkan produktiviti sektor agromakanan.

Menurutnya, antara langkah strategik itu ialah pelaksanaan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) yang menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar daripada 3.5 tan metrik kepada 7.0 tan metrik.

“Langkah strategik juga meliputi pembangunan dan pemerkasaan platform pemasaran produk agromakanan secara e-dagang serta pembangunan makanan ternakan alternatif dan pembangunan industri benih tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada import input pertanian.

“Begitu juga dengan pemberian insentif kepada pengeluaran makanan yang selamat dan sihat bagi meningkatkan ketersediaan makanan berkhasiat dengan harga berpatutan di pasaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/12/21

- Advertisement -