Ombak besar musnah peralatan pengusaha ikan kering

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Banyak peralatan dan kemudahan asas pengusaha ikan kering
di pangkalan Pacakan, Semerak rosak teruk akibat fenomena ombak besar minggu lepas.

Turut terjejas pangkalan tempat bot fiber yang dimiliki 30 nelayan kecil.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ombak besar memusnahkan lima bangunan bangsal jemuran ikan kering besar.

- Advertisement -

Selain itu 20 bangsal jemuran ikan kering kecil yang digunakan pengusaha ikan kering sejak berpuluh tahun lalu.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta membuat kajian bagi memulihkan pantai yang terjejas akibat ombak besar.

“Saya juga akan berbincang dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) untuk membantu pengusaha ikan kering terbabit,” katanya selepas melawat lokasi kejadian di sini semalam.

Pada lawatan itu beliau turut menyampaikan bantuan segera kepada enam keluarga penduduk yang terjejas ekoran fenomena ombak besar.

Turut hadir Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim dan pemimpin masyarakat tempatan.

Dr Nik Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, cadangan membina benteng pemecah ombak sepanjang pantai lebih lima kilometer dari Kuala Besut perlu dibuat kajian secara mendalam.

Ini kerana katanya banyak risiko yang terpaksa ditanggung nelayan termasuk boleh memusnahkan landskap dasar laut sehingga menjejaskan pendapatan nelayan kecil.

Menurutnya dibimbangi juga hasil udang dan tempat penyu (bertelur) akan terjejas sekiranya dibina benteng pemecah ombak kerana ia mengubah ekologi asal. – HARAKAHDAILY 20/12/2021