Banjir bukan penghalang teruskan agenda kebajikan

- Advertisement -

JANIRA AIN ABU BAKAR

KUALA PILAH:
Keadaan hujan berterusan dan jalan banyak ditutup akibat banjir tidak menjadi penghalang Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan meneruskan agenda kebajikan yang telah dirancang.

Dengan kerjasama Skuad Prihatin LKK Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), NGO MuslimCare dan LKK PAS Negeri Sembilan di sekitar Parlimen Kuala Pilah, Program Ziarah Kasih tetap dilaksanakan demi menyantuni golongan MOSWAY (miskin, OKU, sakit, warga emas, armalah dan yatim) sekitar DUN Johol, Juasseh dan Senaling, kelmarin.

- Advertisement -

Aktiviti itu merupakan pembuka lembaran sesi 2021-2023 selepas pelantikan jawatan kuasa baru November lepas.

Lima keluarga telah menerima bakul makanan mengandungi bekalan keperluan asas antaranya beras, minyak masak, gula, biskut, daging ayam segar serta sedikit wang tunai yang disampaikan oleh Pengerusi LKK Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr ‘Uyun Ab Malek, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Pilah, Kamaruddin Tahir dan Pengerusi LKK PAS negeri, Ishak Omar.

Antara penerima yang diziarahi adalah Siti Hajar Yusof, seorang ibu tunggal di Kampung Kelemboi Melekai.

Dengan senyuman tidak lekang di bibir, beliau tetap ceria ketika menceritakan masalah yang ditanggungnya.

Dengan hanya berpendapatan RM300 sebulan, Siti Hajar terpaksa menyara lima orang anak OKU dan salah seorang daripada adik kembarnya yang juga OKU.

Ziarah Kasih MOSWAY itu merupakan program berkala yang dijalankan oleh LKK DMP setiap kawasan bagi memastikan nasib masyarakat dapat dibela.

Pengerusi LKK DMP Negeri Sembilan, Rohayati Md Din mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai bagi meringankan beban penduduk yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 20/12/2021

- Advertisement -