Perak berusaha kekal negeri pengeluar ikan utama

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan negeri membuat perancangan jangka masa panjang dan pendek bagi memastikan habitat hidupan laut di negeri itu tidak berkurangan.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Razman Zakaria berkata, perancangan itu bagi mengekalkan Perak sebagai pengeluar ikan utama di negara ini.

Katanya perancangan itu termasuk membanteras penggunaan peralatan haram yang merosakkan sumber perikanan termasuk bubu naga dan pukat rawa sorong.

- Advertisement -

Selain itu mencegah pencerobohan nelayan yang tidak berlesen melalui penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Sungai 1992.

“Tahun depan dianggarkan sebanyak dua juta benih ikan dan udang akan dilepaskan di perairan umum yang membabitkan kos sebanyak RM150,000.

“Peruntukan itu disalurkan kepada Jabatan Perikanan untuk melaksanakan program berkenaan di sungai, tasik, bekas lombong, empangan dan laut,” katanya menjawab soalan Jamilah Zakaria (Trong) pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Razman juga berkata pembinaan unjam, tuas atau tukun tiruan merupakan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan sumber perikanan.

Kata beliau Jabatan Perikanan membuat perubahan dasar dalam rekabentuk dan pembinaan tukun tiruan.

“Dasar itu lebih menumpukan pembinaan tukun tiruan bersaiz besar, berat dan kuat dengan menggunakan bahan yang tahan lama seperti konkrit atau besi.

“Kerajaan negeri bersama penyelidik dari Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) dan Jabatan Perikanan Kuala Terengganu menjalankan kajian untuk menilai kesesuaian lokasi mengikut kedalaman air dan cadangan rekabentuk mengikut jenis dasar laut,” katanya. – [Stratcom]

- Advertisement -