Pemain tempatan tidak kurang hebat berbanding naturalisasi

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan memberi perincian teliti berhubung prestasi pemain bola sepak tempatan negara yang menunjukkan prestasi baik dan tidak kurang hebat berbanding pemain naturalisasi.

Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbandingan dibuat terhadap pemain tempatan Safawi Rasid, 24, dan kelahiran Brazil, Guilherme de Paula Lucrécio, 35, dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020.

- Advertisement -

“Tempoh masa bermain, Safawi 246 minit dengan tiga kali kesebelasan utama dan De Paula 119 minit dengan sekali kesebelasan utama dan dua kali gantian. Safawi menjaringkan empat gol, manakala De Paula, tiada gol.

“Dari segi cubaan, Safawi melakukan 10 cubaan dan De Paula hanya dua. Dari segi cubaan tepat, Safawi sebanyak 8 kali dan De Paula, 2 kali. Untuk ketepatan, Safawi 80 dan De Paula sebanyak 100.

“Hantaran penting pula, Safawi berjaya membuat empat hantaran demikian dan De Paula hanya satu. Manakala hantaran berjaya, Safawi sebanyak 68, berbanding De Paula hanya 28,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan sejauh mana kementerian itu mengawal tindakan menaturalisasi pemain bola sepak sebagai pemain kebangsaan negara.

Beliau berkata, KBS tidak dapat mengawal proses naturalisasi pemain bola sepak memandangkan permohonan demikian tidak melalui kementerian itu.

Katanya, ketetapan naturalisasi pemain bagi seseorang individu adalah menggunakan syarat dan undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, katanya Pesatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menangguhkan projek naturalisasi berikutan persembahan pasukan negara ketika saingan kelayakan Piala Dunia FIFA/Piala Asia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jun lalu,” katanya.

Ahmad Faizal memberi jaminan bahawa KBS komited memberikan tumpuan terhadap pembangunan sukan negara dalam kalangan pemain tempatan, termasuk bola sepak.

Katanya, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) merupakan inisiatif yang memberikan penekanan kepada pembangunan pemain muda tempatan di seluruh negara.

“KBS juga mengalu-alukan pemain berpengalaman yang mendapat status naturalisasi membantu melatih pemain muda bagi meningkatkan prestasi sukan bola sepak negara,” katanya.

Beliau Faizal berkata, PPBN kini mempunyai seramai 14,214 pemain, 767 orang jurulatih dari 52 buah Akademi Tunas (AT), 63 Pusat Latihan Daerah (PLD), 14 Sekolah Sukan Negeri (SSN), sebuah Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan sebuah Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD). – HARAKAHDAILY 16/12/2021

- Advertisement -