Kesedaran penjagaan kesihatan rakyat perlu dipertingkatkan

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan meningkatkan literasi penjagaan kesihatan di kalangan rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata ANMS bukan hanya disertai oleh agensi kerajaan dan kementerian, malah sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat secara keseluruhan.

- Advertisement -

Menurutnya, empat teras utama ANMS ialah memantapkan promosi pembudayaan hidup sihat, memantapkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, memperkasakan kawalan kesihatan kendiri dan memantapkan kebersihan persekitaran yang meliputi 10 strategi dan 24 inisiatif.

“Kerajaan turut membentuk Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan untuk melancarkan pelbagai program kesedaran menerusi pelbagai platform dan agensi,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dato’ Ahmad Yahaya di Dewan Negara, hari ini.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, meminta kerajaan menyatakan pelan strategik meningkatkan literasi penjagaan kesihatan rakyat, terutama melibatkan kempen pemakanan sihat selaras dengan dasar ANMS 2021-2030.

Dr Noor Azmi berkata, usaha memperkukuhkan promosi makanan sihat melalui ANMS melibatkan beberapa kempen seperti kempen kurangkan penggunaan gula bagi membantu rakyat memahami kesan pengambilan gula berlebihan

“Kerajaan juga mengenakan cukai gula supaya orang berhati-hati untuk mengambil gula kerana bimbang rakyat mendapat ketagihan gula.

“Kempen lain ialah makan buah-buahan dan sayur-sayuran bagi meningkatkan pengambilan buah dan sayur serta kempen suku-suku separuh, iaitu kadar makanan yang sepatut dimakan serta kempen kesedaran kalori,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga melancarkan program penyediaan hidangan sihat ketika mesyuarat, selain latihan katering sihat diadakan bersama pengusaha makanan di kawasan rehat dan rawat (RnR) di lebuh raya,” katanya.- HARAKAHDAILY 16/12/2021

- Advertisement -